Nuffnang Ads

Khamis, Mac 24, 2011

Awas Punca kereta terbakar

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Sebanyak 45 peratus akibat pengubahsuaian enjin kenderaan yang ekstrem.

KEBAKARAN boleh berlaku di mana-mana sahaja.


SAYA tidak ingat apa-apa kecuali jeritan Allahuakhbar suami sebelum saya tercampak keluar menerusi cermin depan bersama anak kedua yang saya peluk erat.
“Dalam keadaan separuh sedar, saya cuba meminta tolong daripada orang ramai supaya selamatkan suami dan seorang lagi anak saya yang berada di dalam kereta yang terbakar.”

Begitulah cerita Rohana Ahmad, 26, yang kehilangan suami, Lans Koperal Mohd. Azni Abdul Aziz, 29, dan anak sulung, Mohd. Norakmal Danial, 6, dalam kemalangan di Kilometer 270.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Seremban, Negeri Sembilan pada 2 Disember 2008.
Suaminya, arwah Mohd. Azni yang bertugas di cawangan kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Mohd. Norakmal meninggal dunia dengan tubuh separuh terbakar di dalam kereta Proton Perdana V6 yang mereka naiki.


Sebelum itu, keluarga ini dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Seksyen 20, Shah Alam.
“Kami bercuti selama empat hari di rumah mertua saya di Felda Sungai Emas, Kota Tinggi, Johor. Selepas balik ke Shah Alam, kami bercadang untuk pulang ke kampung saya di Bota Kanan, Perak pada sebelah malam,” katanya.
Mengimbau kembali kenangan hitam itu, kata Rohana, kereta yang dipandu suaminya hilang kawalan setelah mereka terkejut melihat satu kemalangan lain di depan. Gagal mengelak, kereta mereka merempuh kereta-kereta yang terlibat lebih awal dalam kemalangan itu.
“Selepas itu kami merempuh pembahagi jalan sebelah kanan sebelum dirempuh kereta Proton Waja dari arah belakang. Akibatnya kereta kami terbakar,” kongsi Rohana.
Kes meningkat setiap tahun
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Yahaya Madis, kes yang melibatkan kereta terbakar di negara ini meningkat setiap tahun.
“Untuk rekod, pada tahun 2008 terdapat 2,101 kes melibatkan kebakaran kereta di seluruh negara berbanding 2,052 kes pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2006 pula sebanyak 1,811 kes dicatatkan.
“Jika melihat kepada bilangan kes, ia meningkat setiap tahun. Walaupun peningkatannya tidak mendadak, ia perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa,” katanya.
Ujarnya lagi, punca utama kebakaran kereta disebabkan oleh kemalangan iaitu pelanggaran kereta dengan kereta atau jentera berat lain. Selain itu, kebocoran minyak petrol juga menjadi punca.
Menyentuh mengenai lokasi kejadian, Tuan Yahaya tidak dapat memberi penjelasan yang spesifik kerana kemalangan yang melibatkan kebakaran kereta boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan mahupun jalan kampung.
“Tetapi peratusan kes kemalangan kebakaran kereta yang menyebabkan kematian tidak tinggi. Namun saya menasihatkan setiap pemilik kereta persendirian supaya menyimpan alat pemadam api di dalam kenderaan masing-masing sebagai langkah keselamatan.
“Bukan mahal, beli alat pemadam api jenis natrium hidrogen karbonat/amonium sulfat seberat tiga kilogram pada harga antara RM60 hingga RM80.
“Situasi mungkin panik tetapi sekiranya kita bertindak pantas ia dapat menyelamatkan jiwa dan juga harta seseorang,” ujarnya.
Ubahsuai supaya lebih laju
Mohd. Nizam Abrahim, 32, seorang mekanik yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam membaiki dan mengubahsuai kereta berpendapat, 45 peratus kereta terbakar disebabkan oleh pengubahsuaian enjin yang melampau.
Realitinya ramai pemilik kereta di negara ini yang gemar mengubahsuai enjin kereta untuk membuatkan kenderaan mereka lebih laju.
“Malangnya ramai yang tidak sedar pengubahsuaian yang keterlaluan tanpa mengikut spesifikasi asal serta kemampuan enjin kenderaan boleh menyebabkan kereta terbakar,” ujarnya yang bekerja di sebuah bengkel kereta di Cheras, Kuala Lumpur.

KEMALANGAN turut menjadi punca kereta terbakar.


Katanya lagi, walaupun sekadar perubahan paip enjin sebanyak 30 darjah daripada kedudukan asal, ia mampu memberi impak buruk kepada enjin.
Bahagian enjin boleh menjadi panas secara tiba-tiba kerana sistem pengaliran bendalir tidak sempurna selain masalah sistem elektrik dan hidraulik yang boleh menyebabkan kereta terbakar.
“Namun, penambahan aksesori seperti lampu, radio, pembesar suara dan pedingin hawa, risiko kereta terbakar tidak begitu besar berbanding pengubahsuaian melampau enjin dan faktor kemalangan sendiri,” kata Mohd. Nizam yang mengendalikan kira-kira empat kes kereta terbakar dalam setahun.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: