Nuffnang Ads

Isnin, Mei 23, 2011

Siapa musuh Malaysia?

Persoalan seperti siapa musuh Malaysia dan tuduhan rasuah apabila sistem pertahanan negara dibangunkan kadangkala menjadi stereotaip yang menjelekkan. Sedangkan rakyat negara jiran cukup berbangga dengan kemajuan pertahanan mereka.

PASUKAN tentera darat tidak pernah dipinggirkan dalam pembelian peralatan-peralatan terbaru untuk meningkatkan kecekapan pasukan. – Gambar hiasan


SEJAK kebelakangan ini setiap perolehan aset pertahanan negara dipandang negatif seperti apa yang berlaku dalam perolehan Eurocopter EC-725 dan kapal selam Scorpene.

Orang ramai dan ahli politik ada yang bertanya untuk apa pembelian senjata ini dan siapakah musuh luar sebenar Malaysia.
Pendapat sebegini mungkin muncul kerana tanggapan bahawa Malaysia kini tidak menghadapi ancaman luar dan juga kerana dakwaan pelbagai pihak bahawa berlaku penyelewengan dalam pemerolehan ketenteraan.
Mungkin ramai sudah lupa akan konfrontasi yang berlaku lebih 40 tahun lalu, selepas negara merdeka pada 1957, apabila sebuah negara jiran mengancam negara ini sebagai membantah gagasan Malaysia.
Setiap pembelian peralatan pertahanan sebenarnya berpandu kepada Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang memungkinkan negara ini mengambil pendekatan pertahanan bersifat defensif (bertahan) atau ofensif (menyerang) dalam mempertahan kedaulatannya.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata berasaskan dasar ini, pihak berwajib mewujudkan Operational Concept (OC).
"OC ini adalah mustahak iaitu bagaimana angkatan tentera akan mendukung DPN dalam mempertahan kedaulatan kita dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ)," katanya kepada penulis selepas satu majlis di Port Dickson baru-baru ini.

CADANGAN pembelian Eurocopter EC-725 dan kapal selam Scorpene, menimbulkan pelbagai isu termasuklah dakwaan rasuah. – Gambar hiasan


Perancang pertahanan pula akan melihat jika ada kelemahan yang perlu diatasi dalam pertahanan negara misalnya adakah negara ini mempunyai peralatan maritim yang mencukupi untuk mempertahan EEZ, katanya.
"Di sinilah perancang-perancang di Markas Angkatan Tentera akan menentukan apakah yang kita perlu ada untuk mengatasi kepincangan ini, adakah kita perlu ada kapal perang, kapal terbang, lebih ramai infantri atau sebagainya.
Keutamaan untuk semua cabang ATM
"Semasa darurat dahulu, tentera darat pernah mendapat keutamaan kerana kita memerlukan peralatan yang terbaik untuk menewaskan komunis," katanya.
Hari ini, sesuai dengan cabaran yang dihadapi negara, keutamaan diberikan kepada tentera laut dan udara. Oleh itu tidak timbul tuduhan bahawa tentera darat telah diketepikan, katanya.
Pada pendapat Muhammad Ismail, ruang pertahanan yang masih belum ditutup pada hari ini ialah ketiadaan kelebihan pesawat Radar Amaran Awal (Awacs) yang membolehkan pasukan keselamatan memantau ruang udara dengan lebih ketat.
Malaysia mempunyai radar permukaan tetapi tidak mencukupi untuk memberi liputan yang mantap supaya pesawat negara boleh divektorkan terhadap kapal terbang penceroboh, katanya.
"Kita perlu menggubal satu sistem yang fleksibel kerana kerajaan tidak mampu membangunkan satu projek dalam jangka singkat, kemungkinan besar perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak ada peranan besar dalam Dasar Pertahanan Negara terpaksa ditangguhkan pembelian asetnya," kata beliau.
Sikap rakyat Malaysia menyedihkan
Beliau kesal dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia dan ahli politik hari ini kerana tidak tahu kepentingan pembangunan pertahanan kepada negara.
"Setiap kali sesuatu sistem dibeli, ia akan dikaitkan dengan rasuah. Ramai juga yang daif dengan bertanya, untuk apa jet pejuang ini dibeli...siapa musuh kita, bukankah lebih baik wang yang ada dilabur untuk pembangunan infrastruktur dan sebagainya," katanya.



Tinjauan Bernama pada laman-laman sembang di Internet mendapati sikap negatif ini sukar untuk dilihat dalam kalangan rakyat Indonesia atau pun Singapura.
Rakyat Indonesia misalnya lebih melahirkan rasa kesal kerana pemerintah tidak membangunkan angkatan lautnya dengan efektif dan rakyat Singapura pula amat bangga dengan pembangunan angkatan tentera republik itu boleh dilihat pada sgforums.com pada ruang pendapat 'Militarynuts'.
Tidak ada pula saranan daripada kalangan mereka supaya pemerintah negara pulau itu memperlahankan pembangunan angkatan tenteranya atau bertanya, "Siapa musuh?". - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: