Nuffnang Ads

Jumaat, Oktober 21, 2011

GPS Berhantu

AWAS!...Berhati-hati ketika mengunakkan " GPS".

Cerita ini mungkin kedengaran agak pelik dan mustahil berlaku. Tetapi inilah yang benar-benar terjadi kepada rakan saya, Haji Ali dan keluarganya. Walaupun seakan-akan tidak logik, saya ceritakan juga agar dapat dijadikan iktibar dan pedoman untuk kita semua.


Peracaya atau tidak, ini cerita tentang GPS berhantu. Iblis memang akan menggunakan apa sahaja taktik dan teknik dalam usahanya hendak menyesat dan menyusahkan hidup anak Adam.

Kejadian itu berlaku pada Mac lalu ketika Haji Ali dalam perjalanan pulang dari bercuti di Pulau Langkawi. Mereka jarang ada masa untuk bersama. Maklumlah, Haji  Ali sibuk dengan syarikat, manakala anak-anak pula sibuk dengan sesi persekolahan.

Pesawat  Air-Asia yang dinaiki oleh Haji Ali sekeluarga mendarat di LCCT Sepang lebih kurang pukul 11.00 malam. Setelah semua bagasi dimuatkan ke dalam MPV Naza Ria,  Haji Ali menghidupkan enjin keretanya. Tangannya mencapai GPS yang menjadi teman apabila bermusafir. Walaupun selalu berulang-alik ke Lembah Klang, namun beliau masih kurang mahir selok-belok jalan di situ.

‘Calculating the route’  GPS itu mula memberi isyarat bahawa ia bersedia untuk menjalankan tugasnya, memberi panduan arah untuk Haji Ali dan keluarga balik ke Kuantan.

‘Drive 1 kilometre, then turn left.’  Arahan seterusnya dari GPS apabila kenderaan mereka bergerak keluar dari LCCT. Anak-anaknya seramai lima orang di belakang tertidur setelah kepenatan tiga hari bersiar-siar di Langkawi. Isteri beliau, Rohana, yang duduk di sebelahnya juga kelihatan tersengguk-sengguk.

‘In 350 metre, turn left.’ GPS memberi arahan. Haji Ali tanpa ragu-ragu mematuhi arahan tersebut. Seketika, beliau terpandang papan tanda yang menunjukkan jalan itu menghala ke Seremban.

“Ini jalan ke Seremban. Biasanya ikut Jalan Ampang, baru jumpa Gombak, lepas tu  masuk Highway Karak. Mungkin ada short cut yang aku tak pernah lalu kot,“ getus hati Haji Ali.

MPV terus meluncur laju dengan panduan yang diberikan GPS. ‘In 100 metre, turn right.’ Arahan seterusnya dari GPS. Haji Ali terus membelok ke kanan.

“Eh, ini jalan ke Felda Labu, macam mana boleh sampai ke sini pulak? GPS ini rosak ke,” bisik Haji Ali sendirian. Dia segera melakukan U-Turn dan memberhentikan MPV. Tangannya segera mengambil GPS itu dan memeriksanya.

“Kenapa bang? “ Tanya isterinya yang terjaga dari tidur.

“Entahlah..... GPS ni. Abang ikut arahannya, tapi sampai ke sini pulak. Ini jalan ke Labu, bukan ke
Kuantan, “ terang Haji Ali sambil menunjukkan papan tanda di hadapannya.

‘Turn right... turn right,’ GPS tersebut memberi arahan setelah dapat mengesan yang Haji Ali tidak membelok ke kanan. Haji Ali segera menekan butang off dan menghidupkan semula GPS itu. Beliau sekali lagi menetapkan fungsi GPS untuk menunjukkan arah balik ke Kuantan.

‘Calculating the route.’   GPS kembali berfungsi. ‘Drive 5 kilometre then turn right.’ Haji Ali meneruskan perjalanan setelah yakin yang GPS itu kembali normal.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1.30 pagi. Setelah hampir 45 minit memandu dengan panduan GPS, sekali lagi Haji Ali merasa sangsi terhadap jalan yang sedang dilaluinya kerana di hadapannya tertera papan tanda arah ke Alor Setar dan Bukit Kayu Hitam.

“Mustahil..... Takkan nak ke Kuantan ikut Highway Plus, “ hatinya mula mengesyaki ada yang tidak kena.

Sesampai di exit Sungai Buloh, Haji Ali terus masuk ke Plaza Tol Sungai Buloh.

‘Make U-Turn, make U-Turn,’ marah GPS tersebut bila arahannya tidak diendahkan.

“Apa hal benda ni, menyusahkan saja, “ marah Haji Ali.

“Dah tau GPS tak boleh pakai, janganlah ikut, “ sampuk isterinya yang dari tadi asyik mendengar leteran suaminya.

Haji Ali terus memandu melalui Jalan Kepong dengan harapan dia akan sampai ke Gombak. Sekali-sekala beliau melihat arahan yang diberikan oleh GPS. Nampaknya GPS kali ini macam betul. Kenderaannya meluncur laju membelah kegelapan malam. Apabila melintasi Sri Gombak, GPS tersebut memberi arahan seterusnya. Oleh kerana kurang biasa dengan jalan di kawasan itu, Haji Ali mengikut saja arahan tersebut. Hasilnya, Haji Ali tiba di kawasan berhampiran Hospital Orang Asli, Gombak.

“Isssyy sampai ke sini pulak dibawanya aku, “ keluh Haji Ali.

Pada masa itu, beliau terperasan ada perkara pelik berlaku pada GPS. Garis-garis jalan yang tertera itu bukan lagi berwarna biru atau pink sebagaimana selalu tetapi bertukar berwarna merah pekat seperti darah yang mengalir.

“Ini dah main kasar. Tak boleh jadi ni, “ getus Haji Ali.

Isteri dan anak-anak yang terjaga mula kehairanan. Jam sudah menunjukkan hampir jam 3.00 pagi.

“Bang, telefonlah Haji Rusdi. Manalah tau kot-kot dia boleh tolong,”gesa isterinya.

“Sekarang dah dekat 3.00 pagi, nanti ganggu Tuan Haji pulak,” balas Haji Ali terhadap saranan isterinya.

“Habis tu, takkan abang nak biar kita sesat macam ni?” soal isterinya lagi.

Setelah menemui jalan buntu, Haji Ali lantas mencapai telefon bimbit dan menelefon Haji Rusdi.

“Assalamualaikum,” Haji Ali memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Ya, Ali, ada apa?” balas Haji Rusdi.

“Minta maaf ganggu Haji pagi-pagi buta ni. Saya ada masaalah. Saya nak balik ke Kuantan dari LCCT. Tapi saya rasa macam kena main je ni. Dari pukul 12.00 tadi lagi saya sesat. Saya pakai GPS, tapi macam ada yang tak kena...dihantarnya saya sampai ke Labu, ke Sungai Buloh... ni dah sampai kampung orang asli pulak,” Haji Ali mengadu.

“Macam ni lah. Awak tawassul dulu kepada Rasulullah s.a.w, lepas tu baca Fatihah dan cuba azan. Tengok apa kesannya,” jelas Haji Rusdi memberi panduan.

“Baik, Haji. Insyaallah saya akan buat. Terima kasih, doakan saya.” ujar Haji Ali mengakhiri perbualan ringkasnya.

Selesai membaca Fatihah, beliau lalu mengalunkan azan. Tidak semena-mena isteri beliau menggigil dan mengerang, seram sejuk Haji Ali mendengarnya. Beliau tetap meneruskan azan sehingga habis.

Sebaik sahaja azan selesai, isterinya kembali normal dan beliau sendiri merasakan seolah-olah keluar dari satu kegelapan yang menyelubunginya. Beliau mula nampak papan tanda untuk keluar ke Lebuhraya Karak dan ke Kuantan.

Haji Ali menarik nafas lega, dia termenung sejenak. Ketika itu, baru Haji Ali teringat apa yang mereka lalui semasa berada di Langkawi.

Ketika mula-mula check-in di hotel, beliau telah diberikan satu bilik terpencil yang mengadap paya. Bilik tersebut agak suram, seolah-olah sudah lama tidak dihuni. Sebaik sahaja memasuki bilik, anak bongsunya, Dalillah mula diserang gatal-gatal seluruh tubuh (gegata). Pada waktu malam pula mereka sekeluarga mendengar orang bertukang.

“Cuba Ustaz fikir, mana ada orang bertukang malam-malam buta. Siang-siang tak ada pulak. Bunyi orang mengaji, orang memaku dinding, macam-macamlah lagilah.... hiruk-pikuk. Sampai saya dan anak-anak tak boleh tidur,” jelas Haji Ali ketika menceritakan peristiwa itu kepada beberapa jemaah setelah selesai solat isyak.

“Bila dah masuk Lebuhraya Karak, saya mula rasa mengantuk yang amat sangat. Tak tahan betul, kejap-kejap saya berhenti tidur di tepi jalan. Bimbang takut accident. Ustaz nak tau saya sampai Kuantan pukul berapa? Pukul 12.00 tengah hari! Bayangkan dari pukul 12.00 tengah malam hingga 12.00 tengah hari .... 12 jam perjalanan untuk jarak 270 kilometer.“ tegas Haji Ali.

“Saya rasa mungkin gangguan yang awak alami itu ada kaitan dengan apa yang berlaku semasa di Langkawi. Maksud saya, makhluk yang menggangu awak di Langkawi ikut awak balik. Iblis dan syaitan sudah berikrar untuk menggangu anak Adam dan mereka akan guna apa sahaja cara.“ jelas Haji Rusdi.

“Guru saya, Imam Ishak selalu berpesan, jika kita masuk ke suatu kawasan yang sudah lama tidak berpenghuni atau tempat asing, sama ada hutan atau rumah lama, azanlah tiga kali. Insyallah, makhluk yang menghuni kawasan itu akan lari, “ ujar Haji Rusdi lagi memberikan panduan.

“Dulu pernah juga pelajar IKIP-Yarmouk pergi berkelah di Hutan Lipur dekat Maran. Memang sudah diketahui beberapa lokasi di situ yang dikatakan agak ‘keras’. Saya suruh  pelajar azan terlebih dahulu sebelum memasang khemah. Alhamdulillah, mereka dapat mengadakan aktiviti tanpa sebarang gangguan. “

“Sekembali ke kampus, Ustaz Fared (sekarang bertugas sebagai pegawai atase Pahang di Mesir) yang menjadi pensyarah pengiring memberitahu saya bahawa beliau ada berjumpa dengan beberapa orang asli yang memancing di kawasan itu. Mereka berpesan supaya berhati-hati kerana kawasan itu `keras`.Orang yang berkelah selalu diganggu `penunggu’“.

“Ustaz Fared diam sahaja kerana bimbang para pelajar akan ketakutan. Alhamdulillah, dengan berkat azan yang dilaungkan, Allah menyelamatkan kami dari sebarang kejadian yang tidak diingini.“

“Seperkara lagi yang saya nak tambah... apabila pulang, biasanya akan ada syaitan yang mengekori kita sampai ke rumah. Jangan sekali-kali kita masuk rumah tanpa memberi salam sebab syaitan itu akan turut masuk sama.“

Rasulullah s.a.w. berpesan dengan sabdanya: Apabila kamu memasuki rumah, berilah salam terlebih dahulu kepada ahlinya. Jika kamu tidak memberi salam, maka iblis akan berkata kepada pengikut-pengikutnya: ‘Mari kita masuk ke rumah ini. Di sini ada makanan dan tempat tinggal untuk kita. (Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah dalam Shahih Muslim).

Apa yang berlaku kepada Haji Ali menjadi bukti bahawa iblis dan syaitan akan menggunakan segala teknik untuk mengganggu dan menyusahkan anak Adam. Jika tidak dapat digoda dengan cara halus, maka akan diguna pula cara kasar. Adakalanya cara tersebut kelihatan mustahil dan tidak terfikir oleh kita.

Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah S.W.T. dalam surah al-A’raf, ayat 16-17:
‘Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalan-jalan yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya  sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.’

Marilah kita bersama-sama memohon agar Allah S.W.T. menyelamatkan kita daripada tipu daya dan gangguan iblis laknat ini. AMIN
Oleh Dr Mahyuddin Ismail
(Sumber: Mastika Jun 2011)




Lagi cerita berkaitan GPS.
Kerana Percaya GPS, Kenderaan Tenggelam Masuk Tasikwashington - Sebuah kenderaan utiliti sukan tenggelam di dalam sebuah tasik dekat Taman Mercer Slough di sini kelmarin selepas seorang daripada tiga wanita yang memandu kenderaan itu mengikut laluan yang ditunjukkan menerusi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
GAMBAR menunjukkan kenderaan utiliti sukan ditarik keluar dari dalam tasik.
Kejadian itu berlaku pada awal pagi semasa mereka tersesat dalam perjalanan untuk kembali ke sebuah hotel.

Pemandu kenderaan tersebut menyangka dia memandu di atas jalan raya semasa mengikuti arah panduan menerusi GPS.

Namun, kenderaan itu bergerak memasuki sebuah tasik.

Ketiga-tiga wanita itu menggigil selepas mereka berjaya keluar dari kenderaan tersebut yang kemudian tenggelam ke dalam tasik berkenaan.

Sebuah trak tunda tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi namun kenderaan tersebut sudah tenggelam ke dalam tasik.

Ia kemudian ditarik keluar dari tasik tersebut dengan menggunakan trak penunda itu. - Agensi

Ulasan: alamcyber2011
GPS itu bagus, tetapi kena waspada dan gunakanlah akal waktu menggunakannya. Bukan kena ikut 100% jika tak mahu kejadian seperti di atas berlaku.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: