Nuffnang Ads

Isnin, Oktober 10, 2011

Memerangi cacing marmut


Penyakit cacing marmut menjadi satu 'pertempuran' tahunan yang bukan sahaja menyakitkan malah melumpuhkan jiwa masyarakat Sudan setiap kali tibanya musim hujan.


CACING marmut seakan spageti ini boleh mencecah panjang satu meter.


JOSEPH Lokoi telah mengharungi dua peperangan di selatan Sudan. Tetapi kesan-kesan parut yang terdapat di tubuhnya itu bukan bekas peninggalan peperangan yang dilaluinya.

Sebaliknya, setiap parut itu adalah bukti cacing-cacing marmut iaitu parasit sebaran air yang ditarik keluar daripada kulitnya.
Selepas mendiami perumah untuk tempoh sehingga 14 bulan, cacing panjang yang biasa dikenali dengan gelaran 'iblis hangat' ini akan membebaskan komponen kimia untuk melembutkan daging mangsanya. Ini sekali gus menyebabkan kulit melepuh dan luka bernanah.
"Ia amat menyakitkan," demikian luah Lokoi yang menetap di zon kemarau di bahagian timur Sudan.
Kesakitan yang tidak terhingga itu menyebabkan kebanyakan mangsa terpaksa mencari kawasan air terdekat untuk melegakan diri.
Bagi komuniti puak Lokoi, Toposa, mereka hanya bergantung kepada takungan air hujan atau perigi yang hampir kering untuk tujuan tersebut.
Cacing marmut itu akan memuntahkan selonggok larva ke dalam air dan mati. Melainkan air tersebut ditapis atau dididihkan, air itu berpotensi menyebarkan jangkitan kepada sesiapa yang meminumnya.

PADA tahun 2006, Sudan mencatatkan sejumlah 20,000 kes cacing marmut.


Kira-kira empat per lima daripada keseluruhan kes cacing marmut di dunia berasal dari Sudan. Ia menjadi satu 'pertempuran' tahunan yang bukan sahaja menyakitkan malah melumpuhkan jiwa khasnya setiap kali tibanya musim hujan. Namun, kini sudah ada sinar harapan bahawa parasit tersebut bakal berjaya dihapuskan.
Kestabilan dan keharmonian sesungguhnya telah membuka laluan masuk ke kawasan-kawasan terpencil meskipun wilayah Darfur barat masih dikekang masalah pemberontak. Ini bagaimanapun telah membantu perjuangan mereka dalam menghapuskan masalah cacing marmut di kawasan terjejas teruk di Afrika.
Kerajaan Sudan yang mengamalkan sistem separa autonomi dan penubuhan sebuah pasukan bantuan, Pusat Carter Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan oleh bekas Presiden AS, Jimmy Carter, itu menyasarkan penghapusan cacing marmut dari Sudan menjelang tahun 2009. Ia merupakan sebahagian daripada matlamat mereka untuk mencapai sasaran dunia tanpa penyakit itu suatu hari nanti.
Ini akan menjadi proses pembasmian global pertama sejak cacar dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1977 dan yang pertama tanpa vaksin ataupun bantuan ubatan.
"Belum ada vaksin yang boleh mencegah sebaran penyakit ini. Apabila cacing marmut telah dibasmi sepenuhnya di dunia, ia bermakna ramai yang sudah mengubah kelakuan mereka.
"Sekiranya anda boleh menghalang mereka yang dijangkiti daripada menyentuh air selama setahun, ini sudah pastinya boleh membantu," kata Steven Becknell yang mengetuai pejabat Pusat Carter di selatan Sudan.
Pada awal penglibatan Pusat Carter dalam mengendalikan kes penyakit itu pada tahun 1986, terdapat kira-kira 3.5 juta kes yang dilaporkan di seluruh dunia.
Pada tahun 2006, hanya 25,217 kes yang direkodkan dan 20,000 daripadanya berlaku di Sudan. Ghana pula merekodkan sekitar 4,000 kes pada tahun tersebut dan parasit yang turut dikenali sebagai 'dracunculiasis' juga mengancam penduduk di Mali, Nigeria dan Niger.
Semenjak hari itu, terdapat perubahan positif mendadak yang dilihat di Sudan dengan hanya sejumlah 5,815 kes dilaporkan pada tahun 2007.

CACING marmut boleh menyebabkan kulit melepuh dan luka bernanah.


Berakhirnya peperangan bermakna kawasan-kawasan yang terjejas membuka laluan kepada sebuah projek yang diperbaharui dan diketuai kerajaan untuk menghalang penyebaran penyakit tersebut.
Ini termasuk pembekalan lebih sejuta penapis paip dan kira-kira setengah juta penapis kain. Pusat Carter tersebut telah mengagihkan penapis-penapis kain dan paip minuman plastik yang disertakan dengan kain pada penghujungnya untuk menyekat aliran larva. Paip-paip ini biasanya dilihat tergantung bersebelahan dengan manik-manik di sekitar leher kanak-kanak lelaki puak Toposa.
Tasik-tasik juga dirawat dengan bahan kimia dan lubang-lubang digerudi untuk mendapatkan bekalan air minuman yang lebih bersih.
Lebih 25,500 orang sukarelawan telah ditugaskan untuk memantau sebanyak 22,000 buah kampung, mengira bilangan cacing yang keluar daripada kulit dan mengendalikan kes. Ini bermakna menghentikan mereka yang sudah dijangkiti daripada bersentuhan dengan air dan mengeluarkan cacing-cacing tersebut daripada tubuh si mangsa.
Para sukarelawan akan menggunakan peralatan seperti pencungkil gigi yang digolek antara jari serta ibu jari agar cacing-cacing itu akan terpintal padanya. Biasanya cacing tersebut akan membalut di sekitar otot si mangsa sehingga mengakibatkan satu proses yang amat menyakitkan.
"Ia mungkin memakan masa beberapa minit mahupun berhari-hari," terang Julias Lotubae, seorang pegawai sukarelawan.
Pembasmian penyakit itu semestinya akan memanfaatkan aspek sosial dan ekonomi selain meringankan penderitaan yang ditanggung oleh setiap individu.
"Penduduk tidak boleh bercucuk tanam manakala kanak-kanak pula tidak dapat ke sekolah," kata Makoy Samuel Yibi, seorang pengarah projek untuk membasmi penyakit yang diketuai oleh kerajaan di sebelah selatan negara itu.
Ada ketikanya penyakit yang menjejaskan kedua-dua lelaki mahupun wanita itu kelihatan seakan satu sumpahan moyang. Sebilangan besar yang diserang dengan penyakit itu berada dalam kumpulan usia paling produktif iaitu antara umur 16 hingga 35 tahun.
Seperti juga Lokoi, kebanyakan orang turut dijangkiti cacing itu setiap tahun.
"Saya pernah melihat seorang penduduk dengan 16 ekor cacing yang keluar sekali gus pada satu masa," kata Yibi.
Cacing marmut lazimnya terkeluar daripada daging pada bahagian kaki tetapi Lokoi pernah melihat cacing-cacing ini keluar daripada kepala, mata malahan organ-organ seks seseorang.
Di negeri Equatoria Timur, seorang ibu kepada lima orang anak, Toposa Kumoliang berkata, tiada setahun yang dilalui tanpa anak-anaknya menghidap cacing marmut.
"Ia membuatkan anak-anak saya gelisah, tidak terdaya dan tidak seaktif dulu kerana ia sangat menyakitkan," katanya yang dilengkapi dengan rantai manik berwarna-warni di lengan sambil terduduk di atas lantai. - Reuters
Untuk melihat video sila klik URL ini : http://youtu.be/Qwk-THcjmlI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: