Nuffnang Ads

Selasa, Jun 18, 2013

BUAH IMPORT DISEMBUR KIMIA SEBABKAN BARAH

Banyak buah-buahan import yang dijual di Malaysia telah disembur dengan racun perosak yang boleh menyebabkan barah, menurut Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Ia mengenal pasti epal, oren, anggur, ceri, pisang dan limau sebagai antara buah-buahan import yang melalui beberapa peringkat semburan bahan kimia untuk membuat mereka nampak baik, segar dan mengurangkan kerugian kepada pengeksport.

Akhbar CAP, Utusan Konsumer dalam edisi terbarunya memuatkan tiga muka surat laporan tentang bahan kimia toksik yang digunakan selepas penuaian yang dijumpai dalam buah-buahan import.

Ia turut menyertakan gambar-gambar yang dikatanya dipetik dari kaset video yang diambil secara sulit di beberapa rumah pembungkusan buah-buahan di Amerika Syarikat.
Menurut laporan itu, di Amerika, yang merupakan pengeksport terbesar epal dunia, proses pembungkusan yang biasa mengkehendaki buah-buahan itu dibasuh dengan toksik yang dipanggil thiabendazole.

Ujian ke atas tikus bunting menggunakan bahan kimia ini di Makmal Kesihatan Metropolitan Tokyo mendapati kecacatan pada kaki dan tulang rusuk fetus.

Epal yang dirawat boleh disimpan sehingga lapan bulan.

Selepas dipindahkan dari simpanan, epal itu diproses lagi menggunakan racun perosak sebelum menjalani proses lain, termasuk melilinkannya untuk mengelak buah-buahan itu kering dan berkerut-kerut semasa perjalanan yang jauh dari ladang kepada pengguna.

Import makanan Malaysia berjumlah RM9 bilion setiap tahun, termasuk RM769 juta import sayur-sayuran dan RM500 juta buah-buahan iklim sederhana.

"Am nya, rakyat Malaysia banyak berbelanja ke atas buah-buahan import dan sayur-sayuran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kecenderungan ini bukan sahaja tidak baik bagi ekonomi, ia juga tidak baik kepada kesihatan, memandangkan jumlah bahan kimia yang disembur ke atas buah-buahan import,'' kata Utusan Konsumer.
Katanya, ceri disembur dengan racun perosak sehingga tujuh kali sebelum dieksport manakala limau disembur dengan 2,4-D - komponen utama Agent Orange, iaitu toksin berbahaya yang digunakan untuk meranggas hutan semasa Perang Vietnam.

''Bahan-bahan kimia ini tidak berbau, tidak berwarna dan tiada rasa tetapi ia racun yang boleh menyebabkan kematian,'' kata akhbar itu.

Dengan memberi satu lagi contoh, CAP menyatakan bahawa di sebuah rumah pembungkusan di California, oren biasanya disembur sekurang-kurangnya tiga kali dengan methyl bromide.
Jika terhidu bahan kimia ini, ia dikenal pasti boleh menyebabkan kerosakan teruk pada paru-paru, buah pinggang dan hati. Dilaporkan kadar kematian yang berkaitannya lebih tinggi berbanding racun perosak lain di California.

Sisa bahan kimia tidak hanya terdapat pada oren tetapi seluruh oren dimakan, termasuk sebagai jem atau jus di kulit dan buah diproses sekali.

CAP meminta pihak berkuasa menubuhkan Agensi Pelepasan Makanan Pusat untuk menganalisis semua produk makanan, terutamanya keselamatan makanan yang diimport sebelum ia boleh dijual. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: