POKOK SERAI KAYU |
Dr Wan Amir Nizam bersama pelajarnya dengan hasil kajian di Makmal Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. - Foto Fathil Asri |
Pembunuh senyap
Kajian juga meramalkan menjelang tahun 2025, dianggarkan 1.56 bilion penduduk dunia menghidap tekanan darah tinggi. Ia adalah pembunuh senyap kerana lazimnya ia tidak memberikan sebarang amaran atau simpton. Berikutan itu, ramai yang tidak menyedari kehadirannya.
Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang kali pertama dijalankan di Malaysia pada tahun 1996, mendapati 32.4 peratus atau dianggarkan 2.6 juta warga dewasa Malaysia berusia 30 tahun dan ke atas turut menghidap tekanan darah tinggi.
10 tahun selepas itu, kajian sama dilakukan, kelaziman penyakit tekanan darah tinggi dalam kalangan usia yang serupa dengan kaedah sama digunakan turut meningkat kepada 40.5 peratus.
Kadar peningkatan penyakit tekanan darah tinggi turut direkod dengan kajian kumpulan kecil dijalankan di Malaysia.
Namun, kajian terhadap 2,508 subjek dari semua daerah di Kelantan, trend tekanan darah tinggi dalam kalangan penduduk negeri ini didapati lebih rendah iaitu 13.9 peratus berbanding peratusan di seluruh negara.
Pengambilan ulam daun serai kayu
DAUN SERAI KAYU |
POKOK SERAI KAYU |
BUAH SERAI KAYU MASIH MUDA |
Di Eropah dan kawasan negara Mediterranean, daun serai kayu ini lazimnya dikeringkan dan digunakan sebagai penambah perisa kepada masakan terutama dalam sos, sup, stew dan masakan berunsurkan makanan laut, sayur serta daging.
Tidak ketinggalan, dalam masakan Arab, India dan Pakistan. Antaranya, digunakan untuk menambah keenakan rasa dalam masakan nasi beriani dan bahan dalam garam masala (rempah ratus).
Di Kelantan dan Terengganu, daun serai kayu ini banyak digunakan dalam masakan seperti laksam dan dijadikan ulam untuk dimakan bercicahkan budu.
Rupa-rupanya, di sebalik keenakannya sebagai perisa tambahan kepada masakan, daun ini mempunyai seribu satu rahsia dari sudut kesihatan terutama dalam rawatan penyakit tekanan darah tinggi.
Rahsia keunikan dan kehebatan daun yang pokoknya mudah ditanam di kawasan tropika, berjaya dibongkar kumpulan penyelidik berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, universiti itu, Dr Wan Amir Nizam Wan Ahmad dalam penyelidikannya yang sudah masuk tahun keempat.
"Daun serai kayu atau salam sudah lama digunakan penduduk Kelantan yang menghidap darah tinggi untuk menurunkan tekanan darah mereka.
"Kami tertarik untuk mengkaji dengan lebih mendalam khasiat daun ini selepas melihat corak tekanan darah tinggi beberapa pesakit yang dirujuk di klinik kami semakin normal dan mereka hanya perlu mengambil ubat darah tinggi dengan kadar dos kecil.
"Selepas diselidik, rupa-rupanya mereka mengamalkan makan daun salam sebagai ulam harian mereka," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Belum ada kajian
Justeru, kumpulannya menjalankan penyelidikan secara saintifik selepas mendapati belum ada lagi kajian terhadap daun itu dilakukan bagi menentukan keberkesanannya dalam bidang perubatan.
Kajian saintifik yang dijalankan terhadap dua spesies tikus, Wistar Kyoto (WKY) dan Spontaneously Hypertensive (SHR) mendapati ekstrak daun serai kayu mampu menurunkan tahap tekanan darah haiwan itu.
"Kita menggunakan dua kaedah iaitu menyuntik cecair dari ekstrak daun serai kayu ke salur darah kedua jenis tikus berkenaan dan memberi makan ekstrak daun itu selama sebulan.
"Hasilnya, sebaik cecair ekstrak daun salam disuntik dalam saluran darah, tahap tekanan darah tikus SHR yang sememangnya secara genetik mempunyai darah tinggi menurun sehingga 30 peratus, manakala tikus WKY yang juga tikus berdarah normal, tahap tekanan darahnya tetap normal," katanya.
Terbukti bantu turunkan darah tinggi
Serbuk daun serai kayu. - Foto Fathil Asri |
Lebih menakjubkan, ia tidak langsung menurunkan darah tikus WKY yang berdarah normal.
"Tujuan menggunakan kaedah kedua adalah bagi meniru kesan pesakit darah tinggi yang makan ulam daun salam setiap hari. Daripada kajian ini, kita dapati daun salam tidak memudaratkan mereka yang mempunyai tekanan darah normal kerana pengambilannya tidak menurunkan darah," katanya.
Kajian itu juga mendapati daun serai kayu mengandungi asid galik (gallic), asid oleik, asid linoleik dan seselin, yang berfungsi menurunkan tekanan darah.
"Kita juga menjalankan kajian toksikologi dan hasil penyelidikan mendapati bahan aktif dalam daun itu tiada kesan berbahaya jika diambil melebihi dos dicadangkan," katanya.
Ketika ini, pihaknya bercadang menjalankan kajian lanjut bagi mengasingkan bahan aktif dalam daun salam itu dan bercadang untuk mempatenkan hasil kajian seperti peringkat kajian terhadap manusia dijalankan tidak lama lagi.
"Kita berharap dapat menghasilkan produk suplemen bagi membantu golongan penghidap darah tinggi. Ia boleh menghasilkan ubat daripada serai kayu dengan formulasi yang betul bagi penghidap penyakit darah tinggi," katanya.
Oleh Mona Ahmad
Sumber / bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan