NUFFNANG

Rabu, April 13, 2011

Tip Resume kerja yang baik

Bagi remaja yang telah menamatkan pelajaran dan bakal menempuh alam pekerjaan, Saya senaraikan beberapa tip resume yang baik.

ANDA harus bijak menulis resume yang memberi kesan apabila dibaca oleh penilai.


Bilangan muka surat
BILANGAN muka surat kadangkala memainkan peranan penting dalam menghasilkan ringkasan kerja (resume) yang dikehendaki sesebuah syarikat. Ini kerana, ada sesetengah syarikat memerlukan resume yang pendek. Ada pula syarikat lebih cenderung kepada resume panjang dan terperinci.


Hakikatnya, penemuduga hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk membaca segala isi resume anda.
Justeru, sediakan resume yang ringkas tetapi padat. Resume terlalu panjang menyebabkan penemuduga terlepas pandang isi-isi resume yang penting. Jadi, disarankan resume tidak melebihi dua muka surat.
Maklumat peribadi
Maklumat peribadi harus diisi mengikut kesesuaian kerja yang dipohon. Sekiranya kerja itu memerlukan hobi dan minat tertentu, pemohon perlu menulisnya secara ringkas.
Apa yang mesti ada adalah nama, alamat, nombor telefon, e-mel dan faks. Dinasihatkan, sekiranya resume anda melebihi satu muka surat, letakkan nama anda pada setiap helaian.
Tujuan atau objektif
Perkara paling penting yang harus dinyatakan pemohon. Namun, tidak semua pemohon membuatnya.
Objektif maksudnya jawatan yang dikehendaki. Kadangkala, sesebuah syarikat membuka peluang pekerjaan untuk beberapa jawatan. Jika pemohon tidak meletakkan jawatan yang dipohon, pihak syarikat tidak teragak-agak mengenepikan resume anda.
Pendidikan
Ia merujuk pencapaian akademik anda. Tetapi, ia tidak termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Memadai dengan hanya menyatakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelulusan yang seterusnya.
Aktiviti dan anugerah
Jangan sesekali ambil mudah mengenai aktiviti dan anugerah. Bahagian ini penting kerana ia menentukan sama ada anda seorang yang aktif atau bertanggungjawab.
Senaraikan aktiviti serta jawatan yang disandang. Sekiranya terlalu banyak aktiviti yang anda sertai, letakkan beberapa yang terbaik sahaja.
Selain itu, pengiktirafan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum perlu disenaraikan dalam satu ruang khas. Senaraikan segala anugerah relevan yang pernah diterima. Ia boleh menjadi bonus untuk anda bersaing dalam pemilihan pertama.

RESUME yang baik dan lengkap mencerahkan peluang anda untuk dipanggil ke sesi temuduga. - Gambar hiasan


Kemahiran dan kursus
Senaraikan sekali kemahiran dan kursus yang diperoleh kerana ia akan menarik minat majikan untuk menemuduga anda.
Jika anda memang mempunyai kemahiran tersendiri, jangan malu untuk menyenaraikannya.
Kebolehan dan kelebihan
Kebolehan anda merupakan aspek yang dinilai oleh majikan. Kebolehan anda dalam melakukan sesuatu menjadikan sesebuah syarikat lebih berminat dengan anda.
Jangan melakukan pemalsuan. Ini kerana penemuduga mampu menilai apa sahaja aspek pencapaian anda.
Pengalaman
Kebanyakan majikan sangat tertarik kepada pemohon yang berpengalaman. Sebabnya, mereka tidak perlu lagi memberi latihan kerja. Jadi, senaraikan pengalaman serta nama syarikat anda bekerja sebelum ini.
Gaji
Permintaan gaji yang terlalu tinggi boleh menyebabkan anda gagal melepasi sesi berikutnya. Namun, permintaan gaji yang terlalu rendah mungkin merugikan anda kelak. Justeru itu, sebelum membuat sebarang keputusan, selidik terlebih dahulu keselarasan gaji pokok di syarikat terbabit dengan jawatan yang dipohon.
Gambar
Menjadi amalan syarikat-syarikat di Malaysia yang mahukan gambar disertakan bersama resume.
Sebenarnya, gambar merupakan persepsi awal seseorang penilai mengenai pemohon. Gambar yang memiliki ciri-ciri kemas, ceria dan bersemangat lebih menarik perhatian penilai.
Kebanyakan pemohon gagal meletakkan gambar yang menepati ciri-ciri tersebut, menyebabkan penilai mempunyai persepsi yang kurang elok terhadap pemohon.
Rujukan
Perlu disertakan di dalam resume. Sekurang-kurangnya pemohon perlu meletakkan dua sumber rujukan.
Tujuan rujukan adalah untuk memperkuatkan lagi kelayakan jika anda terpilih ke sesi temuduga. Letakkan maklumat seperti nama, nombor telefon, e-mel, faks, jawatan dan alamat sumber.
Sumber: jawatankosong.com.my

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: