DUBAI - Seorang wanita Britain mendedahkan suasana dalam penjara ketika dia menjalani hukuman kerana kesalahan berzina di sini, lapor sebuah akhbar.
Ibu kepada dua anak tersebut, Sally Antia (gambar) mendakwa dia diberi makanan yang mengandungi berenga serta terpaksa berkongsi tandas dengan 100 tahanan wanita yang lain.
Menurut Antia, Dubai terkenal dengan pembangunan hebat namun keadaan penjaranya sangat daif.
Antia dan teman lelakinya, Mark Hawkins, 43, ditahan pada awal pagi 2 Mei lalu selepas mereka keluar dari sebuah hotel lima bintang, Radisson Dubai Deira Creek.
Penahanan Antia, 44, itu dilakukan berikutan suaminya, Vincent, 48, membuat aduan kepada pihak polis.
Warga Britain yang bertugas sebagai juruterbang itu mendakwa isterinya berzina.
Lelaki itu membuat dakwaan tersebut kerana di UAE, dia akan lebih mudah memperoleh hak jagaan terhadap dua anak gadisnya jika isterinya didapati berzina dengan orang lain.
Menurut undang-undang di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), wanita yang berzina tidak berhak memperoleh hak jagaan anak.
"Berada di sini (penjara Dubai) seperti berada di kem buruh paksa. Ia merupakan wajah Dubai yang anda tidak lihat. Saya keliru, ketakutan dan rasa seperti diabaikan," kata Antia.
Walaupun keluarga Antia tiba di Dubai kelmarin, wanita itu mendakwa hanya sejumlah kecil pelawat yang melawatnya sejak di penjara awal bulan ini.
"Saya mahu terus berhubungan dengan anak-anak dan itu adalah satu-satunya cara. Dia ialah penghubung saya kepada anak-anak," kata Antia. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan