Adakah khabar kehebatan laksamana termasyhur Melaka itu hidup kerana dia benar-benar wujud atau ia hanyalah suatu mitos keperwiraan?
DIA berlari dalam hujan lebat namun tidak basah. Pandai pula bermain senjata dan tangkas dalam gerak aksi persilatan. Dia pahlawan terulung sepanjang Kesultanan Melayu Melaka menikmati rahmat kegemilangannya. Itulah antara gambaran mengenai hebatnya Hang Tuah.
Hanya berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, atau yang dibaca dari hikayat lama, peri kewujudan Hang Tuah masih menjadi tanda tanya.
Walau disebut dalam Hikayat Hang Tuah (yang tidak diketahui penulisnya) dan juga dalam kitabSejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang, laksamana masyhur Melaka ini dianggap sekadar watak ciptaan. Ceritanya juga dianggap sebagai modal penglipur lara untuk menghiburkan waktu senggang rakyat sejak dahulukala.
Antara hujah yang masih didebatkan adalah mengenai Sejarah Melayu itu yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis. Tun Seri Lanang sendiri pun menulis berdasarkan cerita yang disampaikan leluhur dan kelompok masyarakat sebelumnya.
Segolongan ahli sejarah dan cendekiawan hari ini berpendapat bahawa naskhah yang menyentuh tentang Hang Tuah itu bukanlah histografi yang tepat. Lantaran digarap dalam pelbagai versi, menjadi sukar untuk para pengkaji menemui kata setuju terhadap pembuktian kewujudannya.
Jejak hingga ke kubur
Tidak pula bagi Timbalan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep) Melaka, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin. Beliau yang dihubungi Jurnal memberitahu, apa yang terkandung dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah bukan berpaksikan khayalan semata-mata.
Menurutnya, watak-watak yang disebutkan di dalamnya adalah catatan dan ingatan terhadap peristiwa yang berlaku pada zaman dan persekitaran zaman itu. Selanjutnya, ia terkesan dalam masyarakat sehingga akhirnya ia direkod secara bertulis oleh penulis hikayat.
"Selain daripada dua kitab itu, di Melaka, makam Hang Tuah juga sudah ditemui dan dibuka untuk kunjungan awam di Tanjung Kling. Begitu juga dengan penemuan sebuah perigi di Duyong.
"Mengapa masih ada yang tidak percaya mengenai jejak Hang Tuah?," soal Mohd. Jamil yang melahirkan rasa kurang senangnya terhadap golongan yang mahu menafikan kebenaran Hang Tuah.
Apatah lagi dokumentasi hidup Laksamana Hang Tuah dalam hikayatnya bukan sahaja tersimpan baik di dalam negara, malah salinannya mendapat tempat di perpustakaan terkemuka di London dan Belanda sebagai naskhah rujukan dunia Melayu.
"Bukankah setiap catatan yang bertunjangkan kisah ketuanan Melayu dan Islam sering menjadi sasaran perubahan yang dirancang?
"Laksamana Hang Tuah bukan sahaja pahlawan dunia Melayu negara ini, malah seorang tokoh yang diagungkan di seluruh gugusan Melayu Nusantara ketika abad ke-15," rumus Mohd. Jamil.
Walau bagaimanapun, kisah Hang Tuah seakan hilang jejak selepas Sultan Mahmud Shah dari Melaka berundur ke Johor.
"Sejak itu, nama Hang Tuah tidak dikaitkan dengan sebarang sejarah pembentukan dan perkembangan negeri ini," kata Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd. Ismail Jamjam.
Menurut pemilik nama pena Zam Ismail itu, walaupun negeri Johor tidak memiliki apa-apa sokongan atau bukti sejarah mengenai kewujudan Hang Tuah, kewujudan pahlawan terbilang itu suatu masa dahulu tetap diyakininya.
"Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan Melayu.
"Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh diberi peluang untuk dinilai semula," katanya.
Ismail berpendapat, ketika Tun Sri Lanang menulis Sejarah Melayu, tiada orang Melayu lain yang lebih arif untuk merekod apa yang berlaku pada zaman tersebut. Maka, itu adalah sumber paling hampir.
Wira Melayu diperlekeh
Ismail walau bagaimanapun tidak menafikan tentang perubahan jalan cerita, versi penceritaan dan kecenderungan untuk menokok-tambah dalam pengkisahan cerita lama.
Memandangkan dokumentasi antara penulis hikayat sedunia dahulu kala saling berkait akibat kerancakan aktiviti perdagangan laut, maka pertindihan fakta tidak dapat dielakkan hingga boleh mengelirukan.
Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan penilaian generasi semasa dan akan datang.
"Panglima Awang yang dianggap dongeng oleh masyarakat kita misalnya, diangkat sebagai figura penting dunia Melayu oleh penulis Barat. Mereka mencatatkan bahawa dia seorang yang berketurunan Orang Laut," katanya memberi contoh.
"Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah.
"Tindakan memperlekeh ini tidak boleh berterusan," tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan Hang Tuah itu berketurunan Cina.
SEDUTAN DARI FILEM "HANG TUAH".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan