NUFFNANG

Isnin, November 21, 2011

Pencari madu lebah Poland

Masih ada rakyat Poland yang mengambil madu lebah menggunakan kaedah tradisi seperti ribuan tahun dahulu.


DZIERZANOWSKI mengasap sarang lebah di sebatang pokok pain sebelum mengambil madunya.



Berada berbelas meter di atas sebatang pokok pain, Tomasz Dzierzanowski mengalihkan rumput kering dan mengasapkan sebuah sarang lebah dengan penuh berhati-hati.

Menggunakan spatula kayu, dia memotong kepingan sarang lebah dengan teliti. Cecair pekat berwarna gelap mengalir ke jarinya. Selepas turun daripada pokok itu, dia mengambil sedikit kepingan tadi dan merasa madunya.
Dzierzanowski merupakan antara rakyat Poland yang mengekalkan teknik tradisi yang berusia ribuan tahun dalam menggalakkan pembiakan lebah liar. Namun, industri itu telah dilupakan lebih sedekad yang lalu.
"Dahulu terdapat beribu-ribu sarang lebah di dalam hutan Poland.
"Tapi sekarang ada lebih kurang 20 sahaja," kata Dzierzanowski, pekerja Jabatan Alam Sekitar tempatan.
Hutan Spala terletak kira-kira 100 kilometer ke selatan ibu negara, Warsaw.
Selepas mengutip madu daripada sarang lebah liar, pencari madu lebah konvensional akan membuat lubang pada batang pokok dan meninggalkan sedikit kepingan madu bagi menarik lebah-lebah tersebut untuk terus bersarang.
Mengikut amalan orang dahulukala, sarang tersebut akan dibuka hanya dua kali setahun. Pertama kali pada musim bunga untuk melihat sejauh mana lebah tersebut boleh bertahan terhadap musim sejuk dan kali kedua adalah untuk mengutip madunya.
Namun, akibat bersaing dengan ladang-ladang pemeliharaan lebah moden dan ancaman kepupusan hutan, amalan tersebut kian dilupakan.
Fenomena alam yang tidak diingini pada tahun 1980-an telah memusnahkan lebah liar yang menghuni hutan Poland. Sejenis penyakit berasal dari Asia yang dibawa oleh parasit yang dipanggil Varroa menjadi punca kemusnahannya.
Kebangkitan semula ini umpama pengenalan semula kepada serangga tersebut setelah hampir tiga dekad pupus.
Terima kasih harus diberikan kepada Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), dua buah taman negara Poland, individu seperti Dzierzanowski dan kumpulan pemelihara lebah dari Bashkortostan, sebuah kawasan dekat Gunung Ural di Rusia.
"Kami dapati mereka masih mengumpul madu daripada pokok-pokok di Bashkortostan.
"Kami bekerjasama dengan pengusaha lebah Bashkortostan dan mereka telah mengajar kami cara memelihara lebah.
"Tahun lepas, mereka datang ke Poland dan membantu kami membina sarang lebah yang pertama," kata Ketua Projek WWF, Przemyslaw Nawrocki.


MADU lebah hutan lebih pekat dan berkhasiat.



Mereka juga telah mengunjungi beberapa buah muzium untuk mengetahui cara kuno dan membuat semula alat-alat yang digunakan oleh nenek moyang mereka dalam pembiakan lebah.
"Mereka biasanya akan memperoleh di antara enam hingga 10 kilogram (kg) madu daripada setiap pokok.
"Maksimum yang kami boleh dapat hanyalah sekitar 3 kg. Tetapi ini baru tahun kedua kami memperoleh hasil, oleh itu kami perlu tunggu untuk beberapa waktu lagi," kata Dzierzanowski.
Madu lebah liar sangat istimewa dan mempunyai kelainan. Madu Dzierzanowski berwarna emas kegelapan. Rasanya seimbang dan tidak terlalu manis.
"Madu hutan lebih berkhasiat berbanding madu-madu jenis lain kerana ia mempunyai tujuh kali lebih mikronutrien," kata Nawrocki.
Ia juga merupakan berita baik bagi peminat makanan organik kerana sarang lebah hutan bebas daripada penggunaan baja atau racun perosak.
Selain daripada mengutip hasil manisan tersebut, usaha mengembalikan pemeliharaan lebah ini bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan ekologi hutan.
"Lebah penting kepada ekosistem hutan dan memainkan peranan sendiri dalam biodiversiti," jelas Nawrocki.
Walaupun jumlah hasil madu masih sedikit namun cita-cita mereka adalah supaya satu hari nanti akan ada ribuan sarang lebah seperti itu di seluruh Poland. - AFP

Source Link



Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: