Sama ada mitos ataupun benar, lagun-lagun itu dikatakan mampu menyembuhkan segala jenis penyakit baik daripada jerawat batu sehinggalah reumatik.
ADA yang menggelarnya Lagun Ajaib manakala selebihnya menyifatkannya Lagun Awet Muda. Tetapi, yang pasti, kelompok lagun-lagun di Chilca ini dianugerahi lumpur istimewa yang memiliki struktur molekul unik.
Para doktor dan saintis tempatan pula mendakwa, manfaat penyembuhan lumpur ini mungkin berpunca daripada radiasi yang terhasil oleh objek terbang tidak dikenali (UFO) yang kerap dilihat di kawasan itu.
Terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Lima, Peru, Chilca berpusat di antara Kota Tokong Pachacamac dan Nazca Lines yang penuh misteri.
Terkenal dengan lagun-lagun penyembuhnya, lumpur ajaib serta UFO, kawasan itu sering dibanjiri oleh ribuan orang khasnya pada musim cuti panas. Pada ketika itu, keseluruhan kampung bertukar wajah menjadi sebuah spa gergasi.
Mungkin sebab itulah, pengusaha-pengusaha restoran dan rumah tumpangan boleh tersenyum riang mengenangkan kunjungan penginap yang tiada bernoktah.
Ketenangan padang pasir yang kering kontang ditambah pula dengan persisiran pantai akua marin serta kekayaan mineral di lagun yang berwarna unik itu sekali gus meningkatkan kualiti mistik kawasan tersebut.
Sama ada mitos ataupun kenyataan, lagun-lagun itu dikatakan mampu menyembuhkan segala jenis penyakit baik daripada jerawat batu sehinggalah reumatik atau ketidaksuburan.
Atas dasar kepercayaan itulah, sejumlah besar pesakit yang datang dengan penyakit akhirnya pulang dengan kesihatan yang lebih baik. Mandian lumpur di La Milagrosa iaitu Lagun Ajaib turut menjadi tarikan segelintir orang yang datang sekadar untuk bersantai.
Lumpur yang memiliki ciri-ciri perubatan sememangnya merupakan sejenis rawatan popular dalam kaedah naturopati. Kaya dengan bahan-bahan mineral seperti sulfur, zat besi dan kalsium, lumpur dipercayai mempunyai kuasa penyembuhan ke atas pelbagai jenis masalah berbeza.
Sapuan lumpur yang kaya dengan nutrien pada kulit bertindak sebagai pengelupas natural untuk mengukuhkan semula sel-sel kulit dan menyingkirkan toksin.
Sebaik tubuh disapu lumpur, para pengunjung akan merehatkan diri di bawah sinaran matahari terik dan membiarkan lumpur kering sepenuhnya. Satu rahsia rawatan ini adalah, membiarkan lumpur betul-betul kering dan beberapa sesi rawatan diperlukan bagi mendapatkan hasil terbaik.
Lagun penuh keajaiban ini terkenal dengan air berwarna agak kehijauan yang disyorkan untuk mereka yang mengalami masalah kulit. Lagun Godaan pula dipercayai memiliki keupayaan menggoda. Lumpur-lumpur di lagun ini disarankan kepada pesakit yang berdepan dengan penyakit mata, saraf, sendi dan tekanan darah tinggi.
Menariknya, satu lagi lagun iaitu Lagun Mellicera dikatakan mampu meningkatkan kadar kesuburan dan telah menyumbang kepada kelahiran sejumlah anak kembar di perkampungan tersebut.
Pernah digunakan untuk merawat penyakit kulit, tulang dan melegakan pesakit diabetes, Lagun Mellicera mempunyai satu kisah legenda yang istimewa.
Mengikut cerita, suatu ketika dahulu, seorang gergasi dipercayai sering mengunjungi dan berendam di lagun tersebut. Kejadian itu bagaimanapun dikatakan telah membuatkan penduduk Chilca takut untuk bermandi-manda di kawasan tersebut sehingga ke hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan