APAKAH kebaikan yang boleh anda perolehi daripada bawang putih, serai dan aspirin? Pernahkah anda terfikir mengenai kesan makanan nano dan bagaimana sum sum tulang boleh 'terpanggang'? Ikuti ruangan baik buruk di alamcyber! pada minggu ini.
BAIKNYA BAWANG PUTIH
SUPLEMEN bawang putih mungkin boleh menurunkan tekanan darah sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa jenis ubat hipertensi.
Kajian Dr. Karin Ried dan pasukannya dari Universiti Adelaide, selatan Australia, mendapati bawang putih dapat merendahkan tekanan darah sistolik sehingga 4.6 mm Hg pada kadar purata. Bacaan mencecah sehingga 8.4 mm Hg apabila diuji ke atas mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi.
Semakin tinggi tekanan darah seseorang, semakin banyak penurunan berlaku apabila bawang putih diambil. Hasil yang sama diperoleh dalam kalangan mereka yang menggunakan ubat untuk merawat hipertensi, seperti beta blockers, yang mengurangkan tekanan darah sistolik sehingga 5 mm Hg.
Bagaimanapun kajian lanjut perlu dilakukan untuk menentukan sama ada suplemen bawang putih mempunyai kesan jangka panjang terhadap risiko penyakit jantung.
DETOKS SERAI
SERAI adalah sejenis herba yang mudah ditemui di kebun tradisional masyarakat kita. Selain berguna dalam masakan dan dalam perusahaan membuat minyak wangi, aromaterapeutik dan aromaterapi, serai juga memiliki kelebihan tersendiri dari aspek kesihatan dan perubatan.
Secara semula jadi, ia meninggalkan kesan segar dan baik untuk tubuh. Ia membantu secara langsung dalam proses nyahtoksik dalam organ-organ tubuh terutamanya sistem penghadaman seperti pankreas, buah pinggang, pundi kencing dan hati.
Proses tersebut boleh dicapai kerana serai merendahkan paras kolesterol, asid urik dan toksin dalam sistem tubuh. Pada masa yang sama, serai menggalakkan kelancaran penghadaman dan peredaran darah. Secara tidak langsung, komplikasi seperti gastroenteritis dan ketidakhadaman boleh dielakkan. Di sesetengah negara, serai juga digunakan untuk meredakan pertumbuhan jerawat di wajah.
ASPIRIN TANGANI OSTEOPOROSIS
ASPIRIN berdos rendah berupaya mengurangkan aktiviti sel yang memecah struktur molekul dalam tulang dan pada masa yang sama meningkatkan aktiviti sel yang membinanya.
Kajian Dr. Songtao Shi dari Sekolah Pergigian Universiti Selatan California, Los Angeles, dan diterbitkan dalam jurnal PLoS One sekali gus mendakwa aspirin berguna membantu menghalang osteoporosis.
MAKANAN NANO
PENGGUNA sudah sekian lama risau memikirkan makanan yang diolah secara genetik atau diklon. Tetapi selepas ini mereka bakal menemukan sesuatu yang baru yang akan lebih membimbangkan iaitu makanan nano.
Konferen keselamatan makanan di Orlando, Florida, melaporkan makanan yang dihasilkan melalui teknologi nano mula memasuki pasaran secara senyap.
Teknologi nano melibatkan rekaan dan manipulasi bahan pada skala molekular, lebih kecil daripada diameter sehelai rambut dan tidak kelihatan pada mata kasar. Syarikat yang menggunakan teknologi ini mengatakan ia dapat menambah baik rasa dan keberkesanan khasiat dalam makanan.
Ahli ekonomi konsumer di Universiti Vermont, Jane Kolodinsky, memikirkan teknologi nano adalah kejuruteraan genetik baru dan sedang bergerak pantas.
Dalam undian terbaru yang dijalankan CBS/ New York Times, sebanyak 53 peratus rakyat Amerika berkata mereka tidak akan membeli makanan yang diubahsuai secara genetik.
PANGGANG SUM SUM TULANG
DEVRA Davis pengarah Pusat Onkologi Alam Sekitar Universiti Pittsburgh, Atlanta, berpendapat membawa telefon bimbit dalam poket atau memasangnya pada tali pinggang hanya akan ‘memanggang’ sum sum tulang anda. Biarpun terdapat pelbagai pendapat yang bercanggah mengenai sama ada benar atau tidak telefon bimbit menyumbang kepada pembentukan sel kanser dalam tubuh, hakikatnya peralatan canggih itu sememangnya mengeluarkan radiasi.
Buat mereka yang gusar, pilihan yang ada antaranya termasuklah:
1. Gunakan pembesar suara
2. Gunakan set kepala
3. Gunakan bluetooth
4. Gunakan set telinga yang panjang
5. Beli telefon bimbit yang mengeluarkan radiasi yang rendah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan