Kali ini, kita akan melihat beberapa faktor penting sebelum anda membuat keputusan membeli kereta terpakai, atau lebih popular, kita sebut sebagai kereta 2nd hand.
Kereta terpakai biasanya dijual jauh lebih murah berbanding kereta yang didaftar baru, walaupun pada tahun yang sama. Begitupun, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum anda membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta terpakai.
Pertama dan yang paling penting ialah keadaan kereta itu sendiri. Pemandu dan pemilik terdiri daripada pelbagai latar belakang dan corak pemanduan.
Ada orang yang betul-betul menjaga kereta, servis, dibasuh dan dicuci kerap, serta jadual penyelenggaraan yang dipatuhi. Sebahagian yang lain pula, hanya menganggap kereta sebagai alat pengangkutan dari A - B, jadi ia dijaga setakat yang perlu sahaja.
Malah ada orang yang tidak mengambil peduli langsung. Asalkan kereta boleh dihidupkan, isi minyak dan jalan.
Kondisi kereta yang baik tentulah menjadi keutamaan. Kondisi ini juga perlu diteliti khasnya di bahagian enjin. Jika anda kurang arif tentang sesebuah kereta, minta pertolongan dari mereka yang berpengalaman atau mekanik untuk memeriksa keadaan enjin.
Hidupkan enjin untuk beberapa ketika bagi melihat sebarang kerosakan yang boleh dikesan dari peringkat awal. Cuba tekan pedal minyak dan dengar sebarang bunyi yang tidak sepatutnya.
Teliti kesan tumpahan atau bekas lelehan minyak atau sebarang pelincir. Pastikan juga alat penghawa dingin berfungsi, motor elektrik dan bahagian mekanikal yang boleh diperiksa semasa keadaan statik diteliti.
Jangan sekali-kali membeli kereta berdasarkan keadaan luaran dan enjin yang kelihatan bersih/senyap semata-mata. Cuba minta pandu uji kereta tersebut. Bawa pada kelajuan sederhana 40-60km/j dan dengar sebarang bunyi.
Jika kenderaan tersebut bertransmisi automatik, dengar sebarang bunyi yang tidak menyenangkan sewaktu gear ditukar secara menaik (D1-D4), kemudian menurun dari D4 - D1. Kotak gear yang baik selalunya akan menukar gear secara lembut dan lancar.
Tanda-tanda awal penyakit transmisi automatik boleh dikesan menerusi gear hold yang lama. Biasanya terjadi pada gear 2 dan 3 sebelum ia jerking untuk masuk ke gear seterusnya.
Dalam kes yang lebih teruk, gear terakhir atau overdrive tidak dikunci, jadi transmisi tersebut hanya berada dalam posisi D3 sahaja. Mereka yang mahir biasanya dapat membezakan situasi ini dengan memerhatikan takat putaran enjin (rpm) berbanding kelajuan.
Jika kereta yang hendak dibeli masih menyimpan rekod servis dan pembaikan, ia adalah satu bonus untuk anda. Sekurang-kurangnya anda tahu jadual penyelenggaraan dan bengkel mana ia diselenggara.
Rekod penyelengaraan major seperti penukaran talisawat enjin (timing belt), pam air, servis radiator dan penghawa dingin dan bahagian lain boleh dijadikan asas untuk penjagaan seterusnya.
Rekod servis ini juga membolehkan anda (dan mekanik anda) menyemak sebarang kerosakan yang pernah dibaiki. Jadi, jika berlaku sebarang masalah di kemudian hari, ia boleh dijadikan rujukan.
Pastikan kereta yang hendak dibeli tidak pernah terlibat dalam kemalangan serius. Kemalangan kecil adalah perkara lazim, namun selagi ia tidak melibatkan kerangka, ia masih boleh dipandu dengan selamat.
Awasi juga 'kereta sambung' atau 'kereta potong'. Ia boleh diperiksa menerusi tiang A, bawah lantai pemandu hadapan dan juga lantai penumpang belakang. Sekali lagi, bawa mereka yang pakar jika anda was-was dan kurang yakin. Kereta yang disambung ini tidak selamat berada di jalan raya.
Kereta yang masih dalam jaminan (warranty period) adalah satu bonus tambahan. Pun begitu, sila semak dengan pengeluar sama ada jaminan tersebut boleh dibawa ke hadapan walaupun setelah bertukar pemilik.
Ini kerana ada sesetengah jaminan bukan diberikan oleh pengeluar, sebaliknya oleh pihak insurans berdasarkan perjanjian asal. Jadi, jaminan tersebut tidak disambung sekiranya kereta ditukar milik kepada nama lain.
Setelah berpuas hati dengan keadaan kenderaan secara keseluruhannya, tiba masanya melihat dokumen kenderaan tersebut. Bagi kereta terpakai belum daftar (unregistered), dokumen yang wajib ada ialah permit import (AP) yang harus dilampirkan bersama-sama untuk tujuan pendaftaran kenderaan.
Sila teliti dokumen AP ini di bahagian cukai. Pastikan duti kastam sudah dijelaskan. Pastikan juga maklumat kapasiti enjin dan tahun dibuat kerana nilai kereta adalah berdasarkan tahun dibuat.
Bagi kereta terpakai recond sudah daftar pula, pastikan salinan geran dan AP adalah sama maklumatnya. Geran harus dilampirkan bersama AP untuk tujuan pinjaman bank.
Bagi kereta terpakai dalam prosedur biasa pula, cuba semak dengan teliti geran tersebut. Dengan nombor kenderaan itu juga, anda boleh menyemak sejarah pemilikan dan rekod di Jabatan Pengangkutan Jalan.
Jangan sekali-kali membeli kereta terpakai tanpa melihat terlebih dahulu gerannya. Ada kes kereta yang dijual dua kali, pembeli kedua tidak mengetahui bahawa kereta tersebut sebenarnya masih dalam pembiayaan pihak bank oleh pemilik lain.
Jika anda membeli daripada individu, pastikan juga bahawa kereta tersebut tidak mempunyai baki hutang melebihi harga jualan atau nilai pinjaman.
Melainkan penjual bersetuju untuk menyelesaikan kadar perbezaan pinjaman dan nilai penyelesaian penuh (full settlement amount). Jika anda membuat pinjaman semula, maklumat ini boleh diperoleh menerusi bank peminjam anda. Penyelesaian (settlement) akan diuruskan oleh bank anda dengan peminjam lama.
Pinjaman bagi kereta terpakai biasanya berbeza mengikut bank. Setiap institusi pinjaman mempunyai maklumat kadar pasaran yang berbeza sedikit antara satu sama lain. Untuk model-model kurang popular pula, perbezaan ini mungkin mencecah puluhan ribu ringgit.
Begitu juga dengan kadar faedah yang dikenakan. Justeru, dinasihatkan supaya anda melakukansurvey, bank mana yang memberikan faedah paling rendah dengan margin pinjaman dan bayaran balik yang munasabah.
Proses pinjaman bagi kategori ini (tidak melibatkan kereta terpakai dari pengedar kereta terpakai) biasanya disebut sebagai walk-in atau direct-case. Ia biasanya mengambil masa yang lama berbanding proses menerusi wakil penjual. Malah, sesetengah bank tidak menerima kes pinjaman secara direct-case kerana sebab-sebab tertentu.
Kos-kos lain yang perlu anda tanggung ketika membeli kereta terpakai termasuklah bayaran untuk proses penukaran hak milik, insurans dan pemeriksaaan PUSPAKOM.
Ia mungkin kedengaran agak rumit, namun menguruskan sendiri pinjaman ini menjanjikan penjimatan yang banyak berbanding wakil penjual yang kadangkala mengenakan bayaran terselindung yang tidak anda sedari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan