BEKAS ketua juruterbang Serantau Malaysia Airlines (MAS) Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata mengikut pendapat peribadinya pengumuman Australia berikutan penemuan dua objek berkenaan sebagai pesawat MH370.
“Inilah dia,” kata Kapten Nik Ahmad Huzlan ketika ditemubual program khas di TV3 selepas pengumuman Perdana Menteri Australia Tony Abott hari ini.
Menurut beliau, pendapat peribadinya itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang diperhatikan khususnya berkenaan pihak berkuasa Australia.
Beliau melihat Abott ketika mengumumkan perkara berkenaan dengan yakin di Parlimen Australia di hadapan semua wakil.
Pengumuman oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menunjukkan bukti terperinci seperti peta, koordinat dan dimensi anggaran ukuran objek.
Selain itu, Kapten Nik Ahmad Huzlan melihat Australia terkenal dengan cara profesional dengan memiliki pakar dalam setiap bidang, dan mereka juga tidak akan memaklumkan perkara itu kepada Abott sekiranya tiada bukti kukuh.
Akauntabiliti dan kredibiliti pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Australia adalah amat tinggi biarpun meletakkan perkataan kemungkinan pada penemuan mereka.
Kesanggupan pihak berkuasa Australia untuk menghantar pesawat pengesan P-3 Orion ke lokasi objek yang mana menunjukkan penemuan baru itu amat kukuh.
Ketika ditanya bahagian manakah di pesawat Boeing 777-200 datangnya objek berkenaan, Kapten Nik Ahmad Huzlan berkata dengan ukuran 24 meter, ia mungkin sayap kiri atau kanan atau di bahagian ekor pesawat.
“Sekiranya berlaku “soft landing” iaitu pendaratan di atas air, kemungkinan besar objek berkenaan ialah ekor pesawat yang patah ketika mencecah lautan,” katanya.
Beliau turut andaian berkenaan objek berkenaan antaranya tindakan pakar Oceanografi akan melihat pergerakan arus lautan untuk mengagak pergerakan bangkai pesawat berkenaan.
“Pesawat dan bangkai yang ditemui berkemungkinan berjauhan kerana dibawa arus selama 13 hari, tambahan lagi, minyak akan habis apabila melihat pada jarak penemuan objek,” katanya. – MYNEWSHUB.MY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan