Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga mengesahkan Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (Acars) MH370 dihentikan sebelum pesawat itu melepasi perairan pantai timur semenanjung Malaysia.
Tidak lama kemudian, alat pengesan isyarat atau transponder pesawat itu dimatikan di lokasi berdekatan sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam.
GAMBAR terakhir pesawat MH370 yang di ambil pada Februari tahun ini di ruang udara Poland |
Pergerakan ini bertepatan dengan pengesanan yang dibuat oleh radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia dan disahkan oleh data satelit, se;lain ia "konsisten dengan tindakan sengaja seseorang di dalam pesawat".
Datuk Najib menambah, data baru itu mendedahkan komunikasi terakhir yang disahkan antara pesawat tersebut dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia Sabtu lalu.
"Pasukan siasatan sedang membuat perkiraan lanjut yang akan menunjukkan sejauh mana pesawat itu mungkin terbang selepas konteks terakhir ini. Ini akan membantu kami menghalusi pencarian," kata Datuk Najib.
Namun, beliau berkata lokasi tepat pesawat itu ketika ia kali terakhir mengadakan hubungan dengan satelit tidak dapat dipastikan.
Berdasarkan data baru itu, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan sejawat antarabangsa mereka telah dapat menentukan komunikasi terakhir pesawat dengan satelit di salah satu koridor laluan penerbangan - dari utara Thailand hingga ke sempadan Kazakhstan/Turkmenistan, atau dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Dengan penemuan terbaru itu, Datuk Najib berkata operasi pencarian di Laut China Selatan akan dihentikan dan aset-aset Malaysia yang dikerah bagi misi itu akan dikerahkan ke tempat lain.
Sebelum ini, misi pencarian telah diadakan di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Tumpuan 14 negara yang mengerahkan 43 kapal dan 58 pesawat bagi operasi pencarian itu pada awalnya tertumpu ke Laut China Selatan yang merupakan lokasi terakhir pesawat MH370 dikesan sebelum ia hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Datuk Najib berkata oleh kerana dua koridor laluan udara itu melibatkan banyak negara, pihaknya telah mengadakan taklimat kepada kedutaan-keduataan negara di laluan itu semalam tentang maklumat baru yang diterima itu.
MAS telah pun memberitahu keluarga para penumpang tentang perkembangan terbaru itu.
Pesawat dengan 227 penumpang itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Ahad lalu.
Usaha mencari kemudian diluaskan ke Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi menyusuli maklumat dari radar Tentera Udara Diraja Malaysia yang menunjukkan pesawat tersebut cuba berpatah balik.
Operasi mencari dan menyelamat telah masuk hari kesembilan, namun pesawat itu masih gagal dikesan.
Terdapat andaian sebelum ini bahawa pesawat itu dirampas atau penglibatan juruterbang adalah sebab di sebalik pertukaran haluan mendadak pesawat itu.
Turut dilaporkan adalah satelit dapat mengesan denyutan elektronik pesawat yang samar-samar selama beberapa jam selepas ia hilang. -beritaharian.sg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan