Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 menunjukkan wajah sebenar China dalam hubungannya bersama Malaysia, kata bekas duta yang turut mencadangkan agar hubungan bersama China dikaji semula.
Menurut bekas diplomat dan bekas pensyarah hubungan antarabangsa Universiti Malaya Datuk Ahmad Mokhtar Selat, daripada segi hubungan antarabangsa, sesebuah negara tidak akan membuat tuntutan kepada negara sahabat seperti yang dilakukan China terhadap Malaysia.
“Membuat tuntutan adalah tindakan yang ‘unfriendly’. Dalam krisis MH370, China membuat banyak tuntutan yang merumitkan Malaysia,” kata Mokhtar kepada The Malaysian Insider.
“Di samping usaha mencari dan menyelamat, Malaysia terpaksa pula menangani isu-isu emosional. Ianya tidak mungkin timbul jika pemerintah China mengambil pendirian yang tidak bersifat ‘demanding’,” tambah beliau lagi.
Menurut Mokhtar yang pernah menulis buku “Tebusan Tupac Amaru: Pengalaman duta Malaysia di Peru”, pendirian pemerintah China menyebabkan rakyatnya melakukan tindakan keterlaluan.
“Demonstrasi dan kata-kata saperti “I want my son back,” tidak mungkin meredakan keadaan. Hati yang tenang dan pendirian negara China yang lebih bertimbang rasa sudah tentu meredakan keadaan dan memungkinkan Malaysia memfokuskan tenaga kepada krisis yang sedang dihadapi,” katanya.
“Kini terbukti, dalam situasi krisis, negara China bukanlah rakan yang boleh diharapkan. Ianya mempunyai kecenderungan membuli. Selama ini China membuli Filipina dan Vietnam, dan Malaysia harus bersifat waspada.”
Menurut Mokhtar, dalam pesawat MH370 terdapat juga warganegara asing saperti Australia, Amerika Syarikat, Indonesia dan lain-lain lagi tetapi negara tersebut tidak bertindak seperti China yang melatah dan cuba menunjukkan kekuatannya.
“Maka Malaysia harus mengkaji semula hubungannya dengan China,” katanya.
Dalam sejarah Malaysia moden, hubungan Malaysia dan China bermula apabila Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein melawat China pada 28 Mei 1974 selepas hubungan kedua-dua negara terputus akibat perang dingin di antara blok kapitalis pimpinan Amerika Syarikat dan blok komunis pimpinan Soviet Union.
Pertemuan antara Razak dengan Presiden Mao Zedong di Beijing menyebabkan hubungan muhibbah antara dua negara ini terjalin semula atas tapak yang kukuh.
Sokongan Malaysia agar China dikembalikan kedudukannya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1971, menjadi pemangkin kepada acara menandatangani Kenyataan Bersama Malaysia-China yang memungkinkan hubungan diplomatik diwujudkan secara rasmi.
Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang menjalin hubungan rasmi dengan China, kemudiannya menyumbang kepada persepsi yang positif kepada negara Asean lain untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China.
Ahli keluarga penumpang MH370 dari China sejak awal lagi mengatakan Malaysia tidak memeberikan mereka maklumat tepat mengenai kehilangan pesawat itu.
Di Beijing, demonstrasi diadakan di hadapan kedutaan Malaysia sebagai bantahan kepada kerajaan Malaysia yang dikatakan tidak menggendalikan kehilangan MH370 ini dengan baik.
Bagaimanapun, bagi menjernihkan keadaan Duta China ke Malaysia, Huang Huikang minggu ini mengatakan beliau yakin hubungan China dengan Malaysia akan bertambah erat walaupun rakyatnya mengkritik dan marah terhadap Putrajaya dalam mengendalikan tragedi MH370.
Huang berkata republik tersebut menghargai dan berbesar hati dalam usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam mencari pesawat hilang tersebut.
“Kami tidak pernah katakan China marah, kami tidak pernah katakan China tidak berpuas hati dengan perkembangan setakat ini,” kata beliau di Kedutaan China di Kuala Lumpur minggu ini.
Sudah masuk minggu keempat selepas MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pasukan mencari dan menyelamat dari pelbagai negara kini memfokuskan pencarian di Lautan Hindi selepas satelit Australia, China, Perancis dan Britian menemui objek dipercayai berkaitan dengan MH370.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada apa-apa objek ditemui di kawasan pencarian melainkan sampah sarap. – THE MALAYSIAN INSIDER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan