NUFFNANG

Rabu, Ogos 27, 2014

PAKCIK INI BOLEH MENDENGAR SUARA IKAN

DENGAN sebelah tangan berpaut pada sampan, Pak Harun menyelam di perairan lagun Setiu dekat Terengganu untuk mendengar pergerakan ikan. Pak Harun merupakan antara saki-baki seni misteri 'mendengar ikan' yang masih wujud di Malaysia.
PAK HARUN DENGAN TUGAS PELIKNYA...PENDENGAR SUARA IKAN
SETIU, Malaysia: Sambil satu tangannya berpaut pada bibir perahu, Pak Harun Muhammad menenggelamkan tubuhnya ke dalam air, mata dan telinga melingas 'mendengar' bunyi ikan dalam laut.

Pak Harun adalah antara saki-baki 'pendengar ikan' yang masih wujud di Malaysia.

Malah, beliau dan anaknya, Encik Zuraini, dipercayai satu-satunya yang masih mengamalkan seni misteri yang kian pupus ini.

"Apabila anda mendengar, ia adalah seperti melalui kaca mencari - anda boleh melihat ikan kembung, sardin," kata Pak Harun, 68 tahun, yang telah memancing di lagun Setiu di pantai timur luar bandar Malaysia seluruh hidupnya.

"Bagi kami, kami hanya mencari gelama. Tetapi di kalangan jenis ikan gelama, akan ada ikan lain. Gelama adalah raja ikan," kata beliau.
SUARA IKAN ADA BERMACAM-MACAM TERANG PAK HARUN
Ramai 'pendengar ikan' yang lain telah meninggal dunia, bersara atau beralih kepada teknologi moden mengesan ikan. Amalan tradisional ini telah berkurang kerana tangkapan semakin berkurang dan bunyi dasar laut yang semakin bising.

Kajian menunjukkan bahawa perairan Malaysia hilang 92 peratus sumber perikanan antara 1971 dengan 2007 ekoran kegiatan penangkapan ikan yang berlebihan.

"Anda tidak boleh meniru teknik kami. Anda perlu mendapatkan kemahiran dan mempelajari tentang keadaan air.

"Pemborong beritahu saya, 'jika anda tiada lagi, tidak akan ada gelama lagi' yang dijual dengan harga sehingga 10 kali ganda harga ikan sama saiz," kata Pak Harun.

SEMACAM ANEH

Pak Harun, nama yang dikenali di kalangan penduduk setempat, mendapati sukar menggambarkan dengan tepat bagaimana bunyi ikan, tetapi mengibaratkannya seperti bunyi batu-batu kecil yang jatuh ke dalam air.
PAK HARUN SEDANG MENDENGAR SUARA IKAN
"Mereka ada suara. Bunyi begini, ikan ini; bunyi begitu, ikan itu. Jika seseorang itu 'pendengar' baru, tidak boleh kenal satu lagu jenis ikan dengan yang lain," kata Pak Harun.

Kekadang seminggu Pak Harun dengan sekitar sedozen kru beliau tidak mendengar gelama - yang mengundang pandangan sinis tentang dakwaan keupayaannya mendengar ikan.

Tetapi pakar-pakar dalam bunyi ikan mengatakan bahawa kelasi kapal telah lama mendengar bunyi ikan paus dan ikan melalui badan kapal.

"Penyelam skuba sering tidak mendengar apa-apa kerana mereka bernafas dan gelembung buih pernafasan agak bising.

"Bagaimanapun, penyelam bebas atau penyelam yang menggunakan alat pernafasan yang senyap boleh mendengar dengan lebih baik," kata Encik Rodney Roundtree, seorang ahli ekologi kelautan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Bekas pendengar ikan menerangkan pelbagai teknik mendengar. Sesetengah mendakwa bahawa mereka dapat merasakan perubahan suhu air. Bagi Pak Harun ia adalah pengalaman pelbagai deria yang memerlukan mata dibuka luas.

"Selepas beberapa ketika, ia seolah-olah anda boleh lihat. Walaupun ikan itu sangat jauh, anda boleh berasakan ia berada di arah tertentu dan anda pergi ke sana. Hanya apabila anda semakin dekat, anda boleh mendengar ikan dengan jelas," katanya.
PAK HARUN DI RUMAHNYA
Walaupun perut Pak Harun sedikit gendut dengan kulit sawo matang dan beruban, Pak Harun masih riang gembira walaupun sudah berusia, cekap memanjat masuk dan keluar dari perahunya mencari bunyi ikan.

Apabila beliau menunjukkan arah kumpulan ikan gelama, kru beliau - yang menanti dengan mematikan enjin bot - bergerak ke hadapan, menurunkan jaring dan mengetuk sisi bot bagi menakutkan ikan supaya lari dan masuk perangkap jaring.

Pemodenan, termasuk pengorekan pasir, akuakultur, kilang-kilang dan kapal pukat tunda nelayan, telah mengubah tanah bencah Setiu yang kaya tetapi dengan ekosistem terancam di pantai berlagun sekitar 14 kilometer sepanjang Laut China Selatan.
PAK HARUN MEMBELAH LAUTAN UNTUK MENDENGAR SUARA IKAN
Negeri Terengganu mahu menjadikannya sebuah taman laut yang dilindungi. Tetapi tangkapan Pak Harun semakin tidak menentu, dengan purata kasar kira-kira $2,000 seminggu, dan baki sedikit setelah menolak bayaran upah kru, minyak, penyelenggaraan dan kos lain.

"Setiap tahun, tangkapan semakin berkurangan. Tetapi saya tidak pandai melakukan pekerjaan lain, jadi saya masih perlu melakukan ini," kata anak beliau, Encik Zuraini.
PAK HARUN BERSAMA ANAKNYA ZURAINI
Encik Zuraini, 44 tahun, berkata bahawa suatu hari nanti beliau akan melatih salah seorang anaknya sendiri menjadi 'pendengar ikan'.

"Saya tidak mahu melihat amalan ini mati," kata beliau. - AFP.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: