Nuffnang Ads

Sabtu, Januari 18, 2014

ASAL-USUL KELAHIRAN SEMULA 'SULTAN MELAKA' (VIDEO)

PETALING JAYA: Seronokkah jadi raja? Dapat apa kalau diiktiraf jadi raja dan perintah Melaka? Wang? Penghormatan? Kemasyhuran? Harta karun? “Ini bukan pasal harta (juga) bukan kerana harta dan wang ringgit. “Kalau boleh beta tak nak jadi raja. Bukan seronok pun. “Beta cuma pewaris takhta dan keturunan sultan, khalifah untuk memimpin dan membetulkan manusia yang tak betul.

“Sekarang ni payah nak cari orang yang betul. “Beta yakin kebenaran akan kembali semula,” kata Raja Noor Jan Shah Raja Tuah kepada penulis yang semakin berkerut dahi memahami salasilah keturunan Parameswara versi ‘Sultan Melaka’ ini.

Walaupun menjadi raja sejak 9 tahun lalu, beliau menggambarkan kehidupan sehariannya sama seperti rakyat biasa lain, makan dipinggan minum dicawan. Makan nasi cuma sehari sekali.

Mengakui hidup sebagai seorang raja yang tidak bergaji dan terabai, beliau juga menafikan terima sebarang peruntukan daripada kerajaan atau mana-mana pihak bagi menanggung hidupnya dan menguruskan ‘istana’.“Ini semua belanja sendiri. Sedangkan ulat dalam batu pun boleh makan inikan pula tuanku sendiri. Ada cara untuk tuanku cari rezeki,” katanya.
Keyakinannya sebagai ‘Sultan Melaka’ yang sah semakin bertambah selepas mendakwa mendapat pengiktirafan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melalui surat bertarikh 25 November 2013.

Beliau mendakwa tuntutan ke ICJ dibuat sejak tahun 2005, beberapa dokumen dan maklumat diberi kepada ICJ untuk membuktikan dirinya ada darah keturunan Kesultanan Melaka.

Namun akuinya, beliau sama sekali tidak pernah ke ibu pejabat ICJ di Belanda sebaliknya melalui ‘orang tengah’ yang menguruskan prosedur tuntutan tersebut.
“ICJ mendapati setelah dikaji mengikut salasilah tuanku benar dan sebagai seorg raja maka berhak diberi tempat.
“Permaisuri Elizabeth di England kemudiannya mengarahkan ICJ bagi pengiktirafan melalui surat yang dikeluarkan 25 November,” katanya. Beliau juga mendakwa salinan pengiktirafan itu telah dihantar kepada Yang diPertuan Agong, Majlis Raja-Raja (MRR), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Menteri Melaka Daruk Seri Idris Haron dan Yang Di-Pertua Melaka Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Mohd Khalid Yaakob.

“Salinan dihantar untuk pemberitahuan dan diambil tindakan bahawasanya hendaklah mengesyorkan beta sebagai Sultan Melaka dengan arahan ICJ,” katanya.

Tuntutan menjadi semakin sulit. Jika benar sekalipun terbukti dia adalah keturunan raja yang sah, persoalan utama wajarkah sistem beraja di Melaka dihidupkan semula sedangkan empayar Kesultanan Melayu Melaka sudah lama lenyap sejak tahun 1511?
Bagaimana pula dengan sistem undang-undang dan Perlembagaan negara sekarang?
“Perlembagaan boleh buat. Tiada masalah. Macam kita tubuh syarikat, kita susun balik kerajaan ini. “Sebab tu apabila tuanku diiktiraf mahkamah dunia bersama peruntukan yang diberi maka dengan peruntukan itu akan membentuk Kesultanan Melayu Islam Melaka.

“Kerajaan Kesultanan Melaka Darul Islam akan dibentuk, dengan peruntukan itu juga akan dibuat pembangunan dan membantu rakyat di Melaka,” katanya.
Beliau bagaimanapun meluahkan kekecewaannya terhadap respon Idris Haron yang kelihatan seperti mempersendakan tuntutannya.

Tegasnya, kuasa lantikan raja bukan terletak ditangan menteri dan Idris sebagai seorang rakyat biasa tidak berhak menjatuhkan martabat serta mencampuri urusannya.
“Kamu (Idris) kena keluarkan kenyataan minta ampun dan maaf kepada beta sebagai seorang raja berdaulat di muka bumi Tuhan ini.

“Jangan sesekali persendakan darjat dan martabat seorang raja,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Raja Noor Jan yakin salah seorang daripada 12 anaknya yang lain akan menyambung perjuangannya jika tuntutannya sekarang menemui jalan buntu.

“Mudah-mudahan dengan izin Tuhan tuanku akan bertakhta sebagai Sultan Melaka ke-44 dan akan menjaga semua rakyat termasuk Melayu, Cina, India dan berbuat baik kepada semua orang, baru dikatan raja berjiwa rakyat,” katanya tersenyum yakin.
Raja Noor Jan Shah pada 14 Januari lalu ditahan polis  di Jeti Anjung Batu, Serkam, Jasin di Melaka ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “Kesultanan Melayu Melaka”.

Mahkamah Ayer Keroh kemudiannya mengeluarkan perintah tahanan reman beliau selama empat hari sehingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Laporan FMT pada 11 Januari turut mendapat pengesahan bahawa pihak ICJ tidak pernah mengendalikan sebarang tuntutan kes yang membabitkan individu bernama Raja Noor Jan.

Wawancara ini diadakan sebelum Sultan Melaka ditahan polis.

-freemalaysiatoday.com-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: