Rokok rendah kandungan tar dicipta oleh pengeluar tembakau untuk memastikan perokok meneruskan tabiat mereka.
LEBIH banyak perkara perlu dilakukan untuk membetulkan mitos dalam kalangan rakyat China bahawa rokok yang rendah kandungan tarnya kurang bahaya berbanding yang normal.
Ukuran mereka yang antimerokok amat penting dengan Beijing kini mempromosikan negara China sebagai bebas tembakau sempena Sukan Olimpik dan mengharamkan rokok di tempat umum mulai 1 Mei ini.
Perkara itu dinyatakan oleh penyokong kawalan tembakau dalam satu seminar di Beijing dan dilaporkan akhbar China Daily baru-baru ini.
Mereka menyatakan tinjauan yang dilakukan baru-baru ini mendapati hampir 60 peratus responden percaya perokok mengambil rokok rendah kandungan tar berbanding yang normal manakala separuh daripada mereka berkata, menghisap rokok sedemikian adalah lebih selamat.
Tinjauan yang dilakukan Think Tank Research Centre for Health Development dan portal beritaSohu.com menerima undian daripada 1,403 orang pada bulan lalu. Majoriti mereka yang mengundi berusia 29 hingga 50 tahun dengan 86 peratus daripada jumlah tersebut adalah perokok.
"Rokok rendah kandungan tar ini sama bahaya dengan produk tembakau lain. Helahnya terletak dalam rekaan rokok itu sendiri," kata Wu Yiqun, pengarah pusat kajian tersebut.
Rokok rendah kandungan tar ditakrifkan mengandungi tahap kandungan tar dalam asap rokok yang diukur menerusi mesin khas.
Siasatan di Amerika Syarikat (AS) di mana rokok 'ringan' pertama dicipta ditemui pada tahun 2001 dalam usaha untuk mendapat kandungan tar yang lebih rendah.
Untuk itu, pengusaha tembakau mengubah rekaan rokok seperti menambah lubang pengalihan udara yang sukar dilihat oleh mata kasar bagi mencairkan tar dalam asap daripada rokok-rokok sebegitu.
Tetapi sukatan itu tidak menggambarkan sebanyak mana perokok terdedah kepada bahan-bahan kimia yang boleh membawa maut yang dikeluarkan oleh rokok tersebut.
"Ia adalah salah satu sebab mengapa perokok menyedutnya dalam-dalam," kata Hans Troedsson, Ketua Perwakilan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) di China dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Bukti-bukti perubatan sejak lima dekad lalu turut menunjukkan bahawa penyakit kanser paru-paru yang dihidapi perokok tidak mengurangkan penyebaran rokok rendah kandungan tar.
"Oleh itu, rokok rendah kandungan tar dicipta oleh pengeluar tembakau untuk memastikan perokok meneruskan tabiat mereka," kata Zhi Xiuyi, Profesor dan Pengarah Pusat Kanser Paru-Paru Beijing.
Meskipun rokok rendah kandungan tar muncul di China pada tahun 1976 iaitu lebih sedekad berbanding di AS, anggapan yang salah mengenainya tersebar pantas dan meluas.
Malah, ramai doktor mempercayai rokok kurang kandungan tar tidak begitu membahayakan kesihatan.
"Ini sebahagiannya kerana pengeluar tembakau sering memaklumkan perokok bahawa mereka menggunakan teknologi yang tinggi untuk mengurangkan bahaya tar," kata Yang Gonghuan, Profesor dan Timbalan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China.
Kajian awal yang dilakukan oleh program kawalan tembakau antarabangsa pada tahun 2006 turut menemui bahawa China merupakan antara negara teratas daripada 14 buah negara yang mempunyai peratusan tinggi terhadap salah tanggapan mengenai rokok rendah kandungan tar.
Mereka melaporkan China mempunyai 350 juta perokok. Lebih kurang satu juta orang mati setiap tahun disebabkan penyakit yang dikaitkan dengan rokok seperti kanser paru-paru.
Berdasarkan ramalan WHO, satu bilion orang akan mati di seluruh dunia pada abad ke-21 disebabkan tembakau jika tiada tindakan segera diambil untuk menangani ancaman kesihatan daripada rokok.
Selain itu, purata kematian di China kerana merokok akan meningkat kepada tiga juta daripada satu juta orang pada masa ini.
Berhadapan dengan cabaran sedemikian, kerajaan telah melipatgandakan usaha untuk mengharamkan rokok dengan menyertai Konvensyen Framework terhadap Kawalan Tembakau anjuran WHO pada tahun 2005 dan mengharamkan penggunaan perkataan seperti light atau mild di kotak rokok.
Negara itu juga perlu membuka lebih banyak klinik untuk membantu perokok membuang tabiat buruk tersebut, kata aktivis antimerokok, Gregory Ying-nien Tsang.
"China perlu memberi perhatian yang lebih untuk mengawal perokok. Saya menghadiri lebih 12 aktiviti yang mempromosikan rokok sebagai haram pada tahun lalu.
"Tetapi lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membolehkan orang ramai tahu bahawa rokok rendah kandungan tar juga adalah berbahaya. Malah sebenarnya tiada tahap keselamatan terhadap tabiat merokok," tambahnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan