NUFFNANG

Ahad, Januari 20, 2013

Pokok kasut rakyat Amerika

SAMA ADA untuk memperingati sesuatu tarikh atau memasang niat tertentu, pemandangan sebatang pokok 'berdaun' kasut sudah dianggap lumrah di Amerika dan beberapa negara Eropah.
SEBATANG pokok kapas setinggi 21 meter di Middlegate, utara Nevada, Amerika Syarikat sudah lama menjadi tarikan kepada pengembara kerana terdapat beratus-ratus pasang kasut koboi, tumit tinggi, sandal, selipar bahkan kasut luncur bergantungan di dahannya. Ia dikatakan pokok kasut terbesar di dunia.

Penjaga bar di Old Middleton Station - kombinasi bar, restoran dan stesen minyak, berkata kasut pertama yang tergantung di pokok itu dilemparkan oleh seorang lelaki yang baru berkahwin pada tahun 1980-an selepas bertengkar dengan pasangannya. Pasangan itu datang berkhemah di bawah pokok kapas itu.

"Si isteri habis banyak wang disebabkan berjudi dan si suami yang marah telah membaling kasut isterinya ke arah dahan pokok itu," kata Stevenson.

Setahun kemudian, pasangan itu datang semula ke tempat itu dan menunjukkan kepada anak sulung mereka kasut yang pernah menjadi tanda pertengkaran mereka.
Pokok itu tumbuh di tepi Laluan 50, jalan raya yang dianggap paling sunyi di AS. Pada malam Tahun Baru baru-baru ini, pokok itu telah ditebang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kisah pokok kasut telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Amerika, sebuah kuasa besar dan didakwa paling maju di dunia.

Hakikatnya, pokok seumpama itu berselerakan di negara itu termasuk di negeri seperti New York, Idaho, Indiana, Maine dan Michigan.

Menurut masyarakat tempatan, amalan membaling kasut ke atas pokok masih misteri dan hanya dilakukan pada pokok terpilih sejak tahun 1970-an.

Amalan membaling kasut seperti menjadi ritual suci bagi memperingati tarikh tertentu atau sebagai tanda mereka pernah melalui sesuatu kawasan.

Tragis
Pengkaji pokok kasut di AS, Doug Kirby bersungguh-sungguh untuk merungkai misteri popular itu.

Menurutnya, sesetengah pokok kasut bermula dengan insiden yang tragis. Dia memberi contoh peristiwa yang berlaku di Salem, Michigan apabila pokok kasut di situ dikaitkan dengan pembunuhan bersiri kanak-kanak yang mana kasut mereka dilempar ke atas pokok selepas dibunuh.

Terang Kirby, bukan mudah untuk melempar kasut ke dahan pokok kerana terdapat tiga peraturan yang perlu diikuti oleh mereka yang mempunyai hajat tertentu.

"Antaranya, sepasang kasut mesti diikat bersama sebelum balingan dibuat. Teknik mengikat dan membaling perlu betul. Jika mengetuk kasut berhampiran pokok itu, pemilik dikhuatiri terkena sumpahan dan mungkin mendatangkan bahaya jika pokok itu sudah reput.
"Kasut yang tergantung di dahan pokok dipercayai mempunyai roh 'Manitau' daripada pemilik sebelumnya yang mengganggu mereka dengan sengaja," ujarnya.

Tambahnya, di Arkansas, pemilihan pokok kasut berhampiran Empangan Beaver agak unik kerana rata-rata pokok di situ sama saiz.

Katanya, pokok kasut itu bukan sekadar menarik perhatian penduduk setempat malah pengunjung turut mengambil peluang membaling kasut yang ditulis dengan mesej tertentu menyebabkan laluan di situ sesak.
"Pada tahun 2000, angin kencang melanda Arkansas mengakibatkan pokok kasut Beaver tumbang manakala kasut-kasut yang tergantung jatuh bersepah.

"Seperti tiada penghujung, beberapa bulan berikutnya pokok kasut Beaver sudah ada pengganti. Penduduk setempat dan pengunjung tidak melepaskan peluang melakukan amalan seperti sebelumnya," katanya.

Akibat terlalu ramai pelawat datang ke situ, ada individu tidak dikenali telah mencantas pokok berkenaan.

Kesannya, kini orang ramai yang mengunjungi pokok kasut Beaver semakin berkurangan. Bagaimanapun, di negeri lain di AS, amalan pelik itu masih berterusan.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: