Kisah ini baru saya ketahui pada minggu lalu. Orang yang menceritakannya ialah kenalan rapat saya sendiri, Maznah, yang tinggal di Segamat, Johor.
Begini cerita Maznah. Sekitar pukul 2.00 pagi, dia yang ketika itu sedang tidur di katil, tidak semena-mena terjaga dan terus duduk. Suasana ketika itu dirasakannya begitu aneh. Dia memandang sekeliling, masih di bilik tidurnya. Tetapi apabila menoleh ke belakang, Maznah terkejut.
"Eh... kenapa badan aku masih baring? "Maznah berasa pelik, mengapa ketika dia duduk itu, ada satu lagi jasad dirinya yang sedang baring di atas katil.
Bagaimana boleh ada dua? Mana satu dirinya yang sebenar? Yang sedang duduk, atau yang sedang baring? Atau... kini rohnya sedang keluar daripada tubuh dan bersiap sedia untuk meninggalkan jasad?
Maznah kemudian merasakan tubuhnya menjadi terlalu ringan, seringan kabus dan udara. Perlahan-lahan dirinya terangkat ke udara dan kemudian keluar menembusi dinding serta kipas-kipas di atas daun tingkap bilik tidurnya.
Dirinya kemudian melayang naik ke angkasa, jauh dan sayup, bagaikan tiada penghujungnya. Sejuk. Sunyi dan sepi sekali.
Aku di mana? Ke mana aku akan pergi? Maznah berasa terlalu takut. Dia mengucap syahadah berulang-ulang kali, dan... "PRAPPP!!" kedengaran bunyi yang kuat.
Serentak itu Maznah membuka mata. Dia memandang sekeliling dan mendapati dirinya sedang baring di katil. Dirinya yang tadi terawang di angkasa, dalam sekelip mata hilang begitu saja.
"Mimpi? Saya tak rasa macam tu sebab semuanya rasa benar-benar berlaku. Ia tak sama dengan mimpi. Macam di alam nyata," tegas Maznah kepada saya. Sampai sekarang kalau Maznah menceritakan tentang kejadian itu, bulu romanya pasti meremang.
Cerita yang hampir sama berlaku kepada seorang kawan saya bernama Udin. Usianya sekarang 50 tahun dan kejadian ini berlaku ketika dia berusia pertengahan 20-an. Masa itu dia masih nakal lagi dan suka menghisap ganja.
Suatu malam, Udin overdose sampai dia tidak mampu berjalan. Hanya mampu merangkak saja, kemudian terbaring di atas lantai.
Tiba-tiba Udin melihat suatu jelmaan yang menyerupai dirinya, perlahan-lahan keluar daripada tubuhnya. Jelmaan berpakaian serba putih itu bangun, seterusnya bergerak perlahan-lahan menuju ke pintu bilik yang sedia terbuka.
"Rupanya memang sama dengan aku. Dia pandang aku, kemudian berpaling ke luar dan beransur-ansur menjauh. Masa tu aku betul-betul takut. Aku terus angkat kedua-dua tangan dan kiam. Aku mengucap dalam hati sebanyak yang boleh.
"Dalam hati aku cakap, "Aku dah nak mati dah ni." Bagi aku, masa tu yang keluar daripada tubuh aku ialah roh aku. Dia dah nak pergi tinggalkan aku dan aku bila-bila masa saja akan mati."
Udin memejamkan matanya dan bersedia untuk menerima kedatangan Izrail.
"Esoknya aku terjaga. Syukur... aku masih hidup lagi. Sejak tu aku tak berani lagi ambil dadah. Taubat. Kalau aku mati masa tu, tak taulah nasib aku kat sana sekarang..." cerita Udin.
Roh atau OBE?
Adakah roh Maznah dan Udin telah keluar daripada jasadnya, kemudian kembali semula? Adakah itu yang dirasai apabila roh seseorang meninggalkan tubuhnya? Wallahualam.
Dalam Islam, roh termasuk dalam perkara ghaib (samiyyat). Tiada siapa mengetahui bagaimana rupa roh, kecuali Allah SWT.
Dalam kajian sains dan paranormal pula, apa yang berlaku kepada Maznah dan Udin itu dinamakan sebagai Pengalaman Keluar Daripada Tubuh (Out of Body Experience- OBE).
Konsep ini diperkenalkan oleh George N. M. Tyrell melalui bukunya, Appirations (1943). Para pengkaji kemudian melebarkan istilah ini kepada Soul Travel, Spirit Walking dan Astral Projection.
Konsepnya tetap sama iaitu seseorang itu merasa seperti rohnya keluar daripada jasad, terawang-awang di udara, memasuki alam lain, tidak berupaya untuk berinteraksi dengan alam nyata dan kemudian kembali semula ke dalam jasad. Lazimnya ia diakhiri dengan bunyi yang kuat.
OBE berlaku di seluruh dunia, tidak terbatas kepada bangsa, agama atau geografi. Ia terjadi kerana pelbagai faktor seperti tidur yang terganggu, kesan ubat, dadah, tekanan emosi, keletihan serta sawan.
Oleh sebab itu, jangan berasa pelik kalau seorang penghidap sawan memberitahu dia merasa rohnya keluar daripada tubuh, melayang ke siling wad dan dapat melihat dirinya terbaring di katil sambil doktor serta jururawat bertungkus lumus merawatnya.
Selain itu, OBE boleh berlaku akibat trauma, dehidrasi, rangsangan elektrik pada otak dan sebagainya. Sains juga mentafsirkannya sebagai halusinasi. Ia berpunca daripada pelbagai faktor saraf dan psikologi.
OBE paling mudah difahami sebagai mimpi yang berlaku pada peringkat antara tidur dan jaga. Untuk pengetahuan anda, kita mengalami mimpi ketika tidur berada di peringkat Tidur Dengan Gerak Mata Yang Cepat (Rapid Eye Movement - REM).
Otak kita mahu bangun secara mendadak, tetapi tubuh masih lagi dalam keadaan tidur. Keadaan inilah yang menyebabkan mimpi yang berlaku dirasakan benar-benar terjadi di alam nyata (Lucid dream). Konsep ini hampir serupa dengan kelumpuhan tidur (Sleep paralysis) cuma kelumpuhan tidur tidak melibatkan sensasi roh.
Sebahagian pengkaji lain berpandangan, OBE hanyalah permainan minda yang cuba menalar suatu pengalaman yang belum pernah seseorang itu rasai.
OBE hampir sama dengan konsep Pengalaman Hampir Mati (Near Death Experience - NDE).
Adakah roh Maznah dan Udin telah keluar dari jasadnya, kemudian kembali semula? Adakah itu yang dirasai apabila roh seseorang meninggalkan tubuhnya? Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan