Banyak gempa tanda hampir kiamat...
"GEMPA BUMI" kita sebut sebagai bencana atau fenomena alam. Namun, banyaknya berlaku gempa itu juga adalah tanda-tanda kiamat makin hampir.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan tiba hari kiamat hingga dicabutnya ilmu, banyak terjadi gempa bumi dan masa dirasakan berdekatan.” (Riwayat Bukhari)
Nabi Muhammad SAW menyebut kejadian gempa bumi adalah salah satu tanda kiamat dan kebanyakan gempa bumi berlaku kerana letusan gunung berapi. Kejadian letusan gunung berapi dan gempa bumi makin kerap berlaku.
Bagi orang mukmin, berlaku gempa bumi juga adalah sebagai peringatan Allah kepada manusia tentang usia dunia yang semakin tua. Untuk itu, memerlukan kita sentiasa dalam keadaan bersedia dengan melipatgandakan amal ibadat.
Dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Namun, di dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.
GEMPA BUMI juga mampu mengubah masa. Dengan kerapnya berlaku gempa bumi sejak jutaan tahun sehingga sekarang dan terkini berlaku begitu hampir dengan negara kita iaitu "Lombok", Indonesia.
Mengenai masa pula, memang berlalu begitu pantas. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu suntuk. Sehingga banyak perkara belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa yang berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Imam al-Karmani, maksud singkatnya masa ini adalah dicabut keberkatan daripadanya. Dahulu dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara yang dapat kita buat. Ini juga satu petanda hampirnya kiamat.
Oleh yang demikian, ayuh kita memanfaatkan saki-baki masa dan umur untuk meningkatkan amalan kebajikan dan menghindar melakukan kemaksiatan. Masa yang lepas jadi sejarah yang tidak boleh diubah.
Sekarang mari kita berazam memastikan setiap apa yang kita lakukan hanyalah perkara yang baik-baik. Tidak semestinya ibadat khusus iaitu solat, puasa dan haji. Banyak lagi amal kebajikan yang boleh kita buat hatta mengubah duri atau halangan di jalanan pun dikira kebajikan.
Mengucapkan perkataan yang baik juga dikira sebagai melakukan kebaikan. Sebabnya berapa ramai manusia yang diseksa oleh Allah SWT di akhirat kelak angkara lidah yang tidak bertulang. Lidah yang mudah mencela dan mengumpat termasuk juga mengongsi (share) berita-berita yang belum dipastikan kesahihannya melalui laman-laman sosial.
Ingatlah hidup di dunia hanya sekejap berbanding kehidupan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah dunia itu dibandingkan dengan akhirat melainkan bagaikan salah seorang kamu memasukkan jari tangannya ke dalam lautan, perhatikanlah apa yang dibawa oleh jari itu.” (Riwayat Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan