Dari Abu Hurairah r.a katanya: ”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad :”Kerana baunya harum seperti kasturi.”
Kisahnya begini...
“Waktu itu saya duduk di tepi katil. Mak Ngah terus membisikkan kalimah syahadah ke telinga bapa saudara saya itu. Yang lain-lain membaca al-Quran dan surah Yasin untuk Pak Ngah yang sedang nazak akibat kencing manis, darah tinggi dan beberapa penyakit lain.
“Usia Pak Ngah sekitar 60-an. Penyakitnya sudah kritikal dan pihak hospital tidak mampu mengubatinya lagi, lalu membenarkan Pak Ngah dibawa pulang kerana itulah pesan terakhir bapa saudara saya itu sebelum dimasukkan ke wad. “Apa jadi pun, biarlah mati di rumah.” Itu pesan Pak Ngah berkali-kali kepada ahli keluarganya.
“Pukul 6.00 pagi, Pak Ngah semakin nazak, nafasnya beralun-alun. Makin susah dan lemah. Lima minit kemudian, azan Subuh pun berkumandang dari masjid tidak jauh dari rumah Pak Ngah.
“Selesai saja azan, saya tidak semena-mena terhidu suatu bau yang cukup harum. Entahlah... susah nak digambarkan. Wangi macam bunga tengah berkembang. Ia datang sepintas lalu, dalam beberapa saat, dan kemudian menghilang.
“Dalam waktu itulah saya lihat nafas Pak Ngah berakhir, diiringi oleh ucapan innalillahi wainna ilaihi rajiun, oleh Mak Ngah dan anak-anaknya.
“Peristiwa ini sudah lama berlaku. Lebih kurang 15 tahun lalu. Tetapi saya masih ingat dengan jelas. Dari mana datangnya bau harum itu? Semua yang menghadap Pak Ngah ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir, turut terhidu bau yang sama.
“Adakah itu bau roh arwah Pak Ngah yang keluar dari tubuhnya? Atau itu bau malaikat maut yang datang untuk menjemputnya pulang ke hadrat Allah SWT?
“Semua orang bercakap tentang hal itu. Bagi kami, mungkin itu tanda-tanda husnul khatimah. Memang layaklah Pak Ngah memperolehinya kerana bapa saudara saya itu orang yang cukup kuat beribadah, berzikir, sedekah dan bersembahyang jemaah.
“Setiap hari arwah akan berjemaah, kecuali tidak sihat dan cuaca buruk,” demikian cerita seorang kawan, Norzaini, kepada saya baru-baru ini. Ia terjadi di kampungnya di Batu Pahat, Johor.
Pukul 12.00 malam
Cerita Norzaini ini sebenarnya hampir sama dengan apa yang saya saksikan sendiri, pada 2006. Ia berlaku kepada Opah, iaitu saudara rapat keluarga kami, di Perak.
Opah berusia 80-an, keturunannya berasal dari wilayah Pattani, selatan Thailand. Badannya bongkok. Cakapnya susah untuk saya faham. Sudahlah laju, bercampur slanga Siam, Kelantan dan Perak.
Sekitar awal 2006, Opah terlantar akibat sakit tua. Keadaannya mula tenat menjelang Hari Raya Korban, dan semakin kritikal pada tengah hari Aidiladha. Kami berkumpul membacakan al-Quran dan surah Yasin untuknya yang ketika itu dibaringkan di atas tilam.
Keadaan ini berlarutan sampai ke malam. Penat membaca al-Quran, saya duduk seorang diri di atas tangga memerhatikan Opah yang kian nazak dan saudara mara yang mengelilinginya. Jarak antara saya dengan mereka sekitar lima meter.
Ketika jarum jam hampir mencecah tepat pukul 12.00 tengah malam, tiba-tiba saya terhidu satu bau yang cukup harum. Entahlah bau apa, seperti bercampur antara wangian bunga dan lemon. Harum dan segar.
Wartawan wajib berfikiran kritikal. Jangan terus percaya dengan apa yang diceritakan atau disaksikan. Cari bukti. Cari sebab musabab. Jangan percaya sebelah pihak. Tambahan pula perkara-perkara aneh dan mistik, yang entahkan betul entahkan tidak.
Saya sudah biasa lihat orang yang suka memistikkan perkara yang tidak mistik, lantaran terlampau minat dan fanatik terhadap alam ghaib. Mereka tidak menilai bukti dengan ilmu dan sikap skeptikal, tapi terus mengatakan ia memang benar-benar hantu dan mistik. Saya tidak setuju dengan sikap itu.
Kembali kepada cerita tadi: Apabila haruman itu menusuk hidung, saya terus memandang ke segenap ruang rumah itu. Saya memerhati kalau ada sesiapa di antara kami lebih kurang 15 orang itu yang bergerak, berjalan mahupun berpindah kedudukan.
Ini kerana, apabila seseorang itu bergerak, haruman daripada pewangi yang digunakannya mungkin akan tersebar. Haruman itulah yang mungkin saya hidu ketika ini. Tapi tiada. Semuanya tidak berganjak dari tempat masing-masing, terus membaca al-Quran dan membisikkan kalimah syahadah ke telinga Opah.
Seandainya ada antara mereka yang mengelilingi Opah memakai pewangi tersebut, kenapa sebelum itu saya tidak menghidunya, sedangkan itulah juga orangnya yang menemani Opah sejak daripada pagi.
Tanpa saya duga, ketika itulah Opah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Saya melihat jam di dinding. Tepat 12.00 tengah malam. Dan saat Opah disahkan meninggal itulah bau harum tadi beransur-ansur hilang.
Adakah saya saja yang sedar akan kehadiran bau tersebut? Tidak. Semua yang berada di sekeliling Opah turut menghidu bauan yang sama dan menceritakan perkara yang sama.
Perkara ghaib itu urusan Allah. Dosa, pahala, syurga dan neraka juga urusan Allah. Kita tidak tahu bagaimana bentuk roh. Husnul khatimah dan suul khatimah juga urusan-Nya. Kita hanya dapat berdoa dan mengagak. Mungkin...
Opah bukan ustazah, pakar tilawah mahupun pegawai agama. Dia hanya orang kampung yang miskin. Namun dirinya kaya ibadah. Setiap hari, arwah sudah bersiap-siap di atas sejadah sebelum masuk waktu solat. Selepas solat, doa dan zikirnya panjang.
Opah mempunyai buku kecil untuk menanda bilangan setiap kalimah zikirnya. Setiap bilangan lima kali akan dipangkah dengan satu garisan. Begitu juga dengan kiraan beberapa surah lazim, seperti tiga Qul.
Pernah beberapa orang ahli keluarga Opah cuba mengira jumlah zikir-zikir itu, tetapi gagal. Sebab, jumlahnya terlampau banyak, hingga tidak terdaya hendak menghabiskan kiraan. Bayangkan, oleh kerana amalan itu sudah dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun, jumlah bukunya juga banyak.
Itu yang terlihat di mata. Bagaimana pula ibadah dan kebaikan yang dilakukan dalam diam?
Pembaca sekalian, janganlah anda berasa hairan atau sangsi dengan misteri yang berlegar di sekitar kematian seseorang. Sepanjang pengalaman saya sebagai wartawan, sudah cukup banyak saya mendengar cerita-cerita sebegini.
Bukan saja perginya roh diiringi bau harum, malah ada juga mayat yang berbau harum sedangkan tiada setitik pun pewangi disapu atau dititiskan pada tubuhnya.
Sekali lagi, adakah itu roh si mati, malaikat maut, atau hanya perasaan kita sahaja? Atau ini semua khurafat dan salah sangka semata-mata?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan